Mercedes-AMG GT Black Series - 720 hp, 800 Nm, mampu capai 325 km/j!

oleh Mohamad Hanif|
Ucapkan selamat datang kepada model baharu Mercedes-AMG GT Black Series, disifatkan oleh Mercedes-Benz sebagai sebuah kereta super sports yang mewarisi tradisi jenama mewah tersebut di dalam sukan permotoran.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Sebagai sebuah kereta berorientasikan prestasi, Mercedes-AMG GT Black Series ini hadir dengan enjin 4.0 liter bentangan V8 jenis flat-plane crank dan pengecas turbo berkembar yang mampu menghasilkan angka output 720 hp dan 800 Nm.

 


Enjin tersebut turut dipertingkatkan dengan aci sesondol serba baharu, manifold ekzos yang direka semula, serta sistem pelinciran jenis dry sump sebelum digandingkan dengan transmisi klac berkembar tujuh nisbah kelajuan.

Tetapan ini membenarkan AMG GT memecut sepantas 3.2 saat dari 0-100 km/j, dan 0-200 km/j dalam masa kurang sembilaan saat sebelum mencapai kelajuan maksimum 325 km/j.

Aspek kawalan kuasa ini turut diberikan tumpuan dengan kehadiran ciri AMG Traction Control yang membenarkan kadar slip pada gandar belakang sehingga sembilan tahap mengikut kondisi pemanduan.

 


Sistem gantungan pula membawakan spesifikasi yang sama pada AMG GT R, dengan sistem suspensi jenis coil-over, sistem peredam adaptif, bar anti-oleng boleh laras dan camber boleh laras, sementara sistem pemberhentian pula adalah jenis brek seramik.

Dari segi luaran, AMG GT Black Series ini banyak membawakan elemen daripada jentera lumba GT3 dan GT4, seperti muka yang garang dengan gril yang lebih besar, splitter boleh laras, dan canard gentian karbon.

Untuk menyedut udara dengan lebih berkesan, Mercedes telah memasang hud gentian karbon yang menampilkan bukaan udara ram dengan sistem ventilasi yang lebih besar.

 


Antara ciri lain termasuklah bumbung gentian karbon dengan rekaan double bubble, skirt sisi gentian karbon, serta tidak dilupakan sayap belakang gentian karbon menampilkan rekaan two-piece yang boleh dilaras secara manual atau automatik.

Kemasan di belakang disudahi dengan bumper gentian karbon dengan empat tip ekzos yang diasingkan dengan diffuser yang cukup lebar.

Menurut Mercedes lagi, hasil daripada komponen gentian karbon itu tadi mampu menjana daya turun melebihi 400 kg pada kelajuan 250 km/j.

 


Keempat-empat arca roda pula dihiasi dengan rim 19 inci hadapan, manakala rim 20 inci pula di bahagian belakang dan dibaluti tayar Michelin Pilot Sport Cup 2 R.

Perubahan di bahagian dalam tidak begitu ketara, melainkan penggunaan tempat duduk gentian karbon yang dibaluti kulit Nappa dan upholsteri mikrofiber, selain terdapat jahitan kontras berwarna jingga dan trim gentian karbon berwarna matte black.

Roda stereng juga turut dibaluti bahan mikrofiber dan panel pintu ringan yang menampilkan 'loop pull handles'.

 


Selain daripada penawaran di atas, Mercedes-AMG mendatangkan pakej opsyen AMG Track Package yang merangkumi harnesses empat poin, pemadam api serta sangkar keselamatan titanium yang ringan, namun ia hanya terdapat untuk pasaran tertentu sahaja.

Setakat ini, harga jualan untuk Mercedes-AMG GT Black Series masih lagi belum diumumkan.

 

Berita Berkenaan

Pelancaran
Untuk pasaran Malaysia, jentera berharga dari RM3 juta itu hanya dibawa masuk sebanyak 13 unit…
Berita Global
Selepas pengenalan G 63 AMG Edition 55 tempoh hari, kini Mercedes-AMG membawakan model GT Track…
Berita Global
Usah risau kerana Mercedes-AMG sememangnya faham kehendak minda berjiwa kelajuan ini dan mereka…