Mercedes-AMG GT 63 PRO 4MATIC+ Motorsport Collectors Edition, cantik dengan riasan Petronas

oleh Muhammad Md Tajudin|
Mercedes-AMG GT 63 PRO 4MATIC+ “Motorsport Collectors Edition”
Mercedes-AMG GT 63 PRO 4MATIC+ “Motorsport Collectors Edition”
Setelah lama berjuang di dalam sukan permotoran, lapan Kejuaraan Pengeluar pasukan Mercedes‑AMG PETRONAS F1 mengangkat prestij Petronas ke tahap tinggi.

Warna hijau Petronas menjadi identiti kemenangan dan menarik sama ada di atas kereta rali, BTCC, MotoGP, jentera F1 dan edisi khas kereta Mercedes-Benz.

Sebuah lagi kereta cantik dengan warna Petronas ialah Mercedes‑AMG GT 63 PRO 4MATIC+ Motorsport Collectors Edition dan dibuat sebanyak 200 buah sahaja.

Ciri-ciri dan perincian khas menjadi lambang hubungan rapat di antara kereta dan pasukan Mercedes‑AMG PETRONAS F1.
MG5 MREC Banner Campaign October 2024 - 01
MG5 MREC Banner Campaign October 2024 - 02
Mercedes-AMG GT 63 PRO 4MATIC+ “Motorsport Collectors Edition”

 

Warna Obsidian Black Metallic diilhamkan dari kereta lumba Mercedes-AMG F1 dan begitu juga corak bintang yang dicat menggunakan tangan pada badan kereta.

Jaluran Petronas digunakan pada sekeliling kereta termasuk di sebelah bingkai cermin dan membangkitkan aura kereta di atas latar belakang hitam metalik.

Tidak terlalu berlebihan dan ditambah pula pada bingkai rim 21 inci AMG warna hitam kusam.

Satu lagi komponen warna Petronas dan menyerlah di sebalik rongga rim ialah angkup brek depan enam omboh dengan cakera seramik 420 milimeter (mm) dan satu omboh di belakang.

 

Mercedes-AMG GT 63 PRO 4MATIC+ “Motorsport Collectors Edition”

 

Rim dibalut tayar Michelin Pilot Sport Cup 2R Cup saiz 295/30 ZR 21 di depan dan 305/30 ZR 21 di belakang.

Kereta ini dilengkapi pakej AMG Exterior Carbon Fibre dengan pemisah depan, pendakap sisi, peresap dan sayap belakang daripada gentian karbon bermutu tinggi.

Turut dilengkapi bumbung kaca panoramik dan pakej AMG Aerodynamics dengan sayap kekal di belakang.

Perkakasan AMG Night Package II pula terdiri daripada riasan hitam krom seperti kemasan radiator, tulisan dan logo bintang Mercedes di belakang.

Penutup tangki minyak dalam warna perak krom dengan tulisan AMG juga disenarai di dalam spesifikasi. 

 

Mercedes-AMG GT 63 PRO 4MATIC+ “Motorsport Collectors Edition”

 

Bahagian dalam turut meriah dengan riasan Petronas, pada papan pemuka, panel pintu, konsol tengah, kerusi dan stereng AMG Performance.

Pelapik ambang pintu juga dinyalakan dalam warna Petronas. Sana-sini Petronas dan plet konsol tengah tertera 1 out of 200 Motorsport Collectors Edition.

Sistem audio sekeliling Burmester dengan 15 pembesar suara dan 1,170 watt dijadikan ciri asas pada kereta selain audio asli dari enjin V8.

Turut dilengkapi MBUX Interior Assistant, Driver Assistance Package dan papar pandu. AMG TRACK PACE membantu menyediakan pelbagai maklumat apabila di litar.

 

Mercedes-AMG GT 63 PRO 4MATIC+ “Motorsport Collectors Edition”

 

Jika di luar litar dan melalui jalan berbonggol atau tanjakan, gandar depan boleh dinaikkan supaya tidak ngilu dan sedih mendengar geseran dari bawah kereta.

Bagi melindungi daripada kecurian dan laku musnah, kereta dilengkapi sistem pengawasan GUARD 360o. 

Juga untuk perlindungan, pelanggan diberi selimut kereta khas AMG bagi simpanan dalam rumah agar badan yang cantik tidak dihinggap debu dan calar.

Telinga pemandu dan penumpang pula tidak perlu dilindungi daripada nadi AMG 4.0 liter V8 biturbo yang menghasilkan 612 kuasa kuda (hp) dan 850Nm.

Penulis: Muhammad Md Tajudin

 

Mercedes-AMG GT 63 PRO 4MATIC+ “Motorsport Collectors Edition”