Mercedes-AMG GT 4-Door Coupe 2022 dapat kemaskini facelift, tambahan varian Manufaktur Exclusive Edition

oleh Mohamad Hanif|
Sedan coupe sports bersaiz penuh Mercedes-AMG GT 4 Door Coupe dilancarkan secara rasmi pada tahun 2018, dan versi kemaskini facelift telah pun muncul baru-baru ini membawakan perubahan dari segi prestasi dan juga penampilan yang tersendiri.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Tidak cukup dengan itu, Mercedes-AMG turut menambah sebuah lagi varian yang dinamakan sebagai Manufaktur Exclusive Edition buat pertama kalinya dengan penawaran warna opsyen untuk dipilih pembelinya.

 


Di dalam hierarki, GT 4-Door Coupe Manufaktur Exclusive Edition diposisikan atas varian GT 53 dan membawakan layangan warna Rubellite Red metallic, diikuti dengan pakej luaran silver chrome, dan rim spesifik AMG bersaiz 21 inci.

Sementara ruang kabin pula menampilkan penggunaan bahan kulit Neva Grey Exclusive Nappa dengan trim kayu Ash, serta roda stereng AMG Performance.

 


Manakala versi AMG GT 4-Door Coupe yang lain turut mendapat roda stereng AMG Performance baharu dengan rekaan jejari twin-spoke, dial mod pemanduan, balutan kulti Nappa atau gandingan Nappa dan Dinamica suede untuk roda stereng, serta ciri pemanas terbina secara opsyen untuk varian berenjin enam silinder atau standard untuk model V8.

Pembeli varian yang lain boleh juga mendapatkan opsyen kulit yang berbeza untuk ruang kabin seperti contoh Sienna Brown, Classic Red, Yacht Blue, Deep White serta Neva Grey.

Selain daripada itu, terdapat juga pilihan untuk menggandingkan Exclusive Nappa Leather dan Titanium Grey Pearl dengan jahitan kontras kuning, atau Exclusive Auburn Brown Nappa dengan jahitan berlian hitam.

 


Dari segi kuasa, AMG GT 43 4-Door Coupe dan AMG GT 53 4-Door Coupe masih lagi menggunakan nadi enam silinder sebaris 3.0 liter EQ-Boost, masing-masing berupaya menghasilkan 362 hp dan 492 hp.

Pecutan 0-96 km/j boleh diselesaikan dalam tempoh 4.8 saat untuk model AMG GT 43, dan 4.4 saat untuk model AMG GT 53.

Sementara model berkuasa V8 (AMG GT 63 dan 63 S) pula tidak diberitahu angka prestasinya, namun jika anda masih ingat, Mercedes-AMG juga sedang dalam perancangan untuk memperkenalkan model hibrid terulung AMG GT 73 e dengan nadi kuasa V8 yang digandingkan dengan motor elektrik, serta output mencecah 804 hp dan 1,000 Nm.

 


Namun yang pasti, model-model yang dilengkapi dengan nadi V8 itu bakal mendapat sistem suspensi adaptif AMG Ride Control Plus yang membolehkan pemanduan bertambah selesa di dalam mod Comfort, dan mampu menggila di dalam mod Sport dan Sport Plus.