Bagi mereka yang mahukan 'juadah' yang sama namun dalam versi yang lebih sporti, usah risau kerana Mercedes-AMG kini menampilkan GLC 43 dan GLC 63 S E Performance dalam bentuk badan SUV Coupe.
Spesifikasi secara ringkasnya masih lagi sama bagi kedua-dua bentuk badan standard dan SUV Coupe AMG.

GLC 43 membawakan nadi 2.0 liter turbo berkuasa 416 hp, dipadankan dengan motor elektrik kecil berkuasa 13 hp.
Sementara GLC 63 S E Performance pula menampilkan tetapan yang lebih berkuasa, di mana enjin 2.0 liter turbo berkuasa 469 hp itu digandingkan dengan motor elektrik 201 hp, menjadikan kuasa keseluruhan 671 hp dan daya kilas 1,020 Nm!
Kedua-dua varian dibekalkan dengan sistem pacuan semua roda 4MATIC, sistem transmisi AMG Speedshift sembilan nisbah kelajuan, sistem gantungan AMG Ride Control, serta sistem stereng gandar belakang.

Dari segi prestasi, pecutan 0-96 km/j adalah sekitar 4.7 saat (3.4 saat untuk GLC 63), diikuti dengan kelajuan tertinggi 250 km/j (275 km/j untuk GLC 63).
Membezakan antara kedua-dua model ini ialah kapasiti ruang kargo, di mana GLC 63 S E Performance menawarkan ruang sebesar 391 liter atau sehingga 1,334 liter apabila tempat duduk baris kedua dilipat.
Sementara GLC 43 pula lebih besar, dengan kapasiti muatan 544 liter yang boleh dibesarkan sehingga 1,489 liter.

Tidak diketahui harga jualan sebenar bagi kedua-dua model ini, namun Mercedes-AMG bakal memasarkan GLC 43 sebagai model tahun 2024, sementara model GLC 63 S E Performance sebagai model tahun 2025.