Mercedes-AMG GLC 43 4MATIC Coupé CKD - 390 hp/520 Nm, bermula dari RM498,723

oleh Mohamad Hanif|
Sebuah lagi model pemasangan tempatan yang menyertai barisan AMG adalah Mercedes-AMG GLC 43 4MATIC Coupé yang dilancarkan oleh Mercedes-Benz Malaysia, baru-baru ini.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

SUV Coupé AMG ini dijana dengan enjin bentangan V6 3.0 liter yang kini mampu menghasilkan 390 kuasa kuda (peningkatan sebanyak 23 hp) dan daya kilas 520 Nm yang masuk pada julat putaran enjin 2,500 rpm - 5,000 rpm.

Dengan padanan transmisi AMG Speedshift TCT (Torque Clutch Transmission) 9G, pecutan 0-100 km/j mampu dicapai dalam tempoh 4.9 saat sebelum mencapai kelajuan tertinggi 250 km/j yang dihadkan secara elektronik.

 


Sistem pacuan adalah AMG Performance 4MATIC pacuan empat roda yang mempunyai kecenderungan untuk mengagihkan kuasa kepada gandar belakang dengan nisbah depan:belakang sebanyak 31:69.

Konfigurasi ini membenarkan pengalaman pemanduan yang lebih dinamik, pecutan lateral di atas jalan, serta meningkatkan daya cengkaman ketika fasa pecutan.

Aspek pengendalian diserahkan kepada sistem suspensi AMG RIDE CONTROL+ yang dibangunkan berdasarkan sistem suspensi udara AIR BODY CONTROL dengan sistem AMG Adaptive Damping System, di mana ciri ini menawarkan pemanduan yang sporti dan selesa dalam masa yang sama.

Pada kelajuan yang tinggi, ketinggian kenderaan boleh direndahkan untuk aspek kestabilan yang lebih baik serta mengurangkan kadar rintangan angin.

 


Sebagai sebuah jentera AMG, GLC 43 4MATIC Coupé ini menerima rekaan spesifik AMG seperti contoh gril hadapan rekaan menegak, rim aloi 21 inci AMG 5 twin-spoke, pakej luaran AMG Night, serta lampu LED MULTIBEAM dengan sistem Adaptive Highbeam Assist Plus.

Rekaan sporti di bahagian luaran diteruskan pada ruang kabin yang menampilkan tempat duduk sports untuk pemandu dan penumpang hadapan, upholsteri kulit ARTICO/mikrofiber DINAMICA, serta jahitan kontras berwarna merah.

Selain daripada itu, terdapat juga roda stereng AMG rekaan bawah rata dengan balutan mikrofiber nappa yang menampilkan butang fungsi Touch Control untuk memudahkan pemandu mengakses beberapa fungsi ketika memandu.

 


Dari segi pemanduan, terdapat lima mod yang boleh dipilih termasuklah Slippery, Comfort, Sport, Sport+, dan Individual.

Selain daripada fungsi multiple downshift, ciri pemanduan Sport dan Sport+ turut didatangkan dengan fungsi double-declutching yang menawarkan pengalaman pemanduan yang lebih beremosi.

Sistem infotainmen MBUX terdiri daripada skrin paparan bersaiz 12.3 inci di bahagian tengah, skrin instrumen digital 10.25 inci di hadapan pemandu di mana ia boleh dikawal menerusi kawalan pergerakan atau pengaktifan arahan suara "Hey Mercedes".

 


Menambahkan lagi ciri keselamatan pada Mercedes-AMG GLC 43 4MATIC Coupé ini adalah Mercedes-Benz Driving Assistance Package yang merangkumi  ciri seperti Active Distance Assist DISTRONIC, Active Steering Assist, Active Brake Assist, Active Lane Keeping Assist, Active Blind Spot Assist, PRE-SAFE® system dan tidak ketinggalan bantuan kamera keliling 360°.  

Harga jualan untuk Mercedes-AMG GLC 43 4MATIC Coupé bermula dari RM498,722.77 atau bulanan serendah RM4,987 menerusi Agility Financing Plan Mercedes-Benz Financial untuk jangka masa terhad.

Berita Berkenaan

Berita Global
Bagi mereka yang mahukan 'juadah' yang sama namun dalam versi yang lebih sporti, usah risau kerana…
Telah Diuji
Selain dipasang di Pekan, SUV sporti facelift ini turut didatangkan dengan beberapa penambahbaikan…