Pada Mac lalu GLA 35 4MATIC diperkenal di peringkat antarabangsa dan kini giliran GLA 45 S 4MATIC+ yang lebih berkuasa.
Dari segi reka bentuk, model 2024 tampil dengan apron depan baharu dan logo AMG pada bonet dan teknologi LED pada kesemua sistem lampu.
Corak lampu depan dan belakang mempunyai sedikit perubahan dan lampu depan MULTIBEAM LED ditawarkan sebagai pilihan pembelian.
Dari sisi, pendakap gerbang roda dibuat mengikut warna badan berbanding hitam sebelum ini dan diserlahkan dengan rim 21 inci
Pada bahagian belakang, spoiler dan empat muncung ekzos menyimpulkan GLA 45 S 4MATIC+ sebagai model paling berkuasa dalam keluarga GLA.
Bahagian dalam kereta dilengkapi stereng AMG Performance yang terbaru sebagai ciri asas.
Sistem maklumat hibur MBUX mempunyai skrin khas AMG, penambahan fungsi dan lebih berkuasa.
Telefon pintar boleh disambung tanpa kabel bagi sistem Apple CarPlay dan Android Auto. Turut dilengkapi pengecas USB lebih berkuasa dan tambahan slot USB-C.
Menggerakkan GLA 45 S ialah enjin 2.0 liter turbo yang menghasilkan 421 ps pada 6,750 rpm dan tork 500Nm dari 5000 - 5,250 rpm.
Pecutan dari 0-100 kilometer sejam (km/j) hanya perlu 4.3 saat dan kelajuan dihadkan kepada 270 km/j.
Sebagai perbandingan, GLA 35 menghasilkan 306 hp dan tork 400Nm. Pecutan 0-100 km/j memerlukan 5.2 saat dan kelajuan maksimum 250 km/j.
Kuasa enjin GLA 45 S diagihkan melalui kotak gear dua klac lapan kelajuan AMG SPEEDSHIFT DCT dan pacuan semua roda 4MATIC+
Dinamika pemanduan dibantu oleh mod RACE, pacuan 4MATIC+ dan Kawalan Torque AMG.
Kotak gear gandar belakang mempunyai cekam pelbagai plat kawalan elektronik dengan setiap satu disambung kepada aci pacu gandar.
Rekaan itu bukan sahaja membahagikan kuasa di antara gandar depan dan belakang tetapi juga di antara roda belakang kanan dan kiri.
Penulis: Muhammad Md Tajudin