Mercedes-AMG GLA 45 2021 - crossover kecil dengan enjin 2.0 liter paling berkuasa

oleh Mohamad Hanif|
Mercedes-AMG memperluaskan lagi penawaran SUV-SUV berprestasi tinggi dengan melancarkan model GLA 45 generasi baharu sebelum pengenalan rasmi di Geneva Motor Show 2020.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Dibangunkan berdasarkan generasi kedua crossover paling kecil GLA-Class, ia hadir dengan nadi 2.0 liter turbo M139 yang sama mendiami adik-beradik AMG yang lain seperti A 45 dan CLA 45. 

 


Output juga kekal pada angka 382 kuasa kuda dan 480 Nm daya kilas yang dipadankan dengan transmisi automatik klac berkembar 8 nisbah kelajuan, memacu sistem pacuan semua roda 4MATIC dan dikawal oleh AMG Torque Control.

Atas jalan, GLA 45 AMG mampu memecut sepantas 4.3 saat dari pegun ke 100 km/j dengan kelajuan maksimum dihadkan kepada 250 km/j. 

Pasaran Amerika Syarikat hanya menerima model GLA 45 AMG, namun di sesetengah pasaran, model GLA 45 S didatangkan dengan output yang paling berkuasa, 415 kuasa kuda dan 500 Nm!
 


Sistem suspensi hadapan McPherson hadapan dan 4-link belakang GLA 45 (dan GLA 45 S) menerima talaan yang lebih serius bagi kawalan kenderaan yang lebih meyakinkan di kelajuan tertinggi, dibantu dengan ciri AMG Ride Control dengan tiga mod yang boleh dipilih. 

Sistem pemberhentian GLA 45 ini terdiri daripada brek hadapan 4 omboh dan 1 omboh di belakang, dihiasi dengan angkup berlogokan AMG. 
 


Dari segi pemanduan, pemandu boleh memilih beberapa mod yang didatangkan seperti Slippery, Comfort, Sport, Sport+ dan Individual, serta mod khusus Race yang merangkumi tiga peringkat ESP. 

Beralih kepada rupa luaran, beberapa ciri yang khusus untuk model AMG telah dipadankan seperti bumper hadapan dan belakang, spoiler bumbung, sistem ekzos dengan empat tip, gril Panamericana, rim dengan kemasan berkilat serta lencana unik AMG. 
 


Seperti kebanyakan model AMG, tidak lengkap GLA 45 AMG tanpa kehadiran sistem infotainmen MBUX dengan sistem paparan digital di balik stereng, diikuti dengan ciri opsyen AMG Track Pace bagi memantau data dan memaparkan informasi penting.

Tempat duduk pula dibaluti dengan kulit hitam MB-Tex dan Dinamica, hiasan jahitan kontras merah, tali pinggang keledar merah serta trim gentian karbon di sesetengah tempat. 

Bagi yang mahukan ekstra, boleh memilih tempat duduk AMG Performance dengan upholsteri MB-Tex Neva Grey dan Black, trim aluminium dan empat lagi pilihan kulit yang ditawarkan. 

 

Berita Berkenaan

Berita Global
   Juga baharu fungsi transparent bonnet yang memaparkan pandangan maya pada bahagian bawah depan…
Berita Global
Berbanding varian berkuasanya GT63, Mercedes-AMG GT43 bersama nadi baharu itu turut tidak…
Informasi
Kita sebagai rakyat Malaysia seharusnya rasa bertuah kerana Mercedes-Benz Malaysia tidak lokek…