Mercedes-AMG F1 bermurah hati benarkan Romain Grosjean pandu jentera W10

oleh Mohamad Hanif|
Romain Grosjean, pelumba F1 yang berasal dari Perancis bakal mendapat peluang untuk merasai sendiri pemanduan di dalam jentera F1 Mercedes AMG W10 pada bulan hadapan.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Peluang tersebut ditawarkan sendiri oleh Mercedes menerusi prinsipal Toto Wolff memandangkan beliau tidak mahu insiden kemalangan di Bahrain GP tahun lalu sebagai pengalaman terakhir Grosjean di dalam sukan F1.

Menurut Grosjean, "saya berasa amat teruja untuk kembali 'beraksi' di dalam jentera F1, dan ia bakal menjadi satu peluang keemasan buat saya untuk memandu jentera yang terbukti memenangi kejuaraan F1 tahun 2019.

 


"Saya amat berterima kasih kepada pihak Mercedes F1 dan Toto untuk peluang yang amat berharga ini. Pertama kali saya mendengar berita ini sewaktu terlantar di hospital ketika Toto bercakap kepada sidang media. Membaca (berita ini) membuatkan saya gembira.

Grosjean bakal mengendalikan jentera Mercedes W10 di French GP pada 27 Jun ini.

 


"Kami amat gembira dapat memberikan sokongan kepada Romain menerusi peluang khas ini," ujar Toto.

"Idea ini timbul ketika melihat Romain mahu mengakhiri kariernya di dalam F1, dan kami tidak mahu insiden kemalangan itu menjadi momen terakhir beliau di dalam jentera F1.

Setelah tamat musim F1 2020, Grosjean kini berlumba di dalam IndyCar menerusi pasukan Dale Coyne Racing.