Hadir dalam varian tunggal AMG EQE 53 4MATIC+, ia turut menampilkan tetapan motor elektrik berkembar dengan hamburan kuasa 625 hp dan daya kilas 950 Nm, di mana pecutan 0-100 km/j adalah sepantas 3.5 saat.
Dengan pakej AMG Dynamic PLUS, EQE 53 AMG ini mampu mencapai kuasa setinggi 687 hp dan daya kilas 1,020 Nm di mana pecutan 0-100 km/j boleh dipendekkan kepada 3.3 saat sahaja.
Sementara pek bateri berkapasiti 90.6 kWh pula membolehkan sedan elektrik pantas ini mencapai jarak gerak 458 hingga 527 km untuk sekali cas penuh.
Ia turut menyokong pengecasan AC 11 kW di mana bateri boleh dicas penuh dari sifar dalam tempoh 9 jam 15 minit, atau pengecasan pantas DC 200 kW di mana pengecasan 10-80 peratus dalam masa 32 minit sahaja.
Sama seperti EQS AMG, EQE AMG yang dibawa masuk ini turut dilengkapi dengan sistem suspensi udara adaptif AIRMATIC, pemilihan mod pemanduan DYNAMIC SELECT, Adaptives Dampfungssystem PLUS (ADS+) serta fungsi AMG Track Pace.
Sistem stereng gandar belakang turut wujud pada EQE AMG, namun dengan sudut putaran roda sehingga 4.5 darjah (berbanding 9 darjah pada EQS AMG), bertujuan untuk menjadikan aspek pengendalian sedan yang lebih baik.
Aspek pemberhentian sedan ini terdiri daripada angkup enam omboh beserta rotor 415 mm pada gandar hadapan, sementara gandar belakang pula menampilkan angkup omboh tunggal yang memegang rotor sebesar 378 mm.
Terdapat opsyen naik taraf sistem brek seramik AMG yang membawakan saiz rotor sebesar 440 mm, namun ia hanya boleh dimuatkan dengan rim bersaiz 21 inci sahaja.
Sama seperti EQS, EQE AMG ini turut membawakan fungsi booster brek pintar (i-Booster) yang telah ditala untuk disesuaikan dengan pengalaman berprestasi AMG.
Rekaan luaran sedan EQE 53 4MATIC+ ini diserikan dengan pakej kemasan AMG, rim aloi ringan AMG bersaiz 21 inci, spoiler AMG, pakej AMG Night, serta kemasan jeriji hitam spesifik AMG yang menggandingkan bintang Mercedes dan logo AMG.
Ruang kabin sedan EQE 53 AMG ini diserikan dengan tempat duduk sport AMG yang dibaluti kemasan kulit ARTICO dan mikrofiber MICROCUT, kemasan jahitan merah, logo AMG, roda stereng AMG Performance, pedal sports AMG, kemasan gentian karbon, serta plat ambang pintu dengan perkataan AMG yang bercahaya.
Satu perubahan ketara yang boleh dilihat berbanding sedan EQE standard ialah kehadiran ciri skrin gergasi MBUX Hyperscreen sebagai tambahan kepada ciri lain seperti sistem bunyi Burmester 3D, sistem pencahayaan ambien aktif, dan kawalan iklim automatik.
Harga jualan Mercedes-AMG EQE 53 4MATIC+ bermula dari RM649,888 atas jalan tanpa insurans.