Mercedes-AMG EQE 2023 - sedan elektrik 677 hp, 1,000 Nm, 0-100 kmsj 3.3 saat!

oleh Mohamad Hanif|
Penawaran model berprestasi tinggi AMG tidak terhad kepada kereta berenjin semata-mata, ia kini turut diperluaskan bagi model kereta elektrik.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Terbaharu, Mercedes-AMG selesai melancarkan dua buah sedan elektrik pantas AMG, iaitu EQE 43 4MATIC dan EQE 53 4MATIC+.

Jentera AMG selalunya terkenal dengan penampilan yang agresif, namun untuk EQE AMG ini penggunaan kit badan yang melampau bakal memberikan kesan kepada kadar kecekapan bateri.

Selain daripada bampar depan yang sporti dan splitter hadapan, EQE AMG ini dipadankan dengan rim aerodinamik, serta spoiler belakang yang lebih besar diikuti dengan rekaan gril hadapan tertutup berlogokan AMG.
 

AMG


Aspek pengendalian terdiri daripada suspensi udara AMG Ride Control+ dengan peredam adaptif, bar anti oleng spesifik AMG, serta tayar Michelin Pilot Sport EV yang direka khas untuk kereta elektrik berprestasi tinggi.

Selain itu, terdapat ciri sistem stereng gandar belakang yang standard untuk kedua-dua varian yang membolehkan tayat belakang mencapai sudut pergerakan sehingga 3.6 darjah bagi membantu pengendalian pada kelajuan atas 60 km/j, atau ketika berada di tempat parkir yang sempit.

Sistem brek pula terdiri daripada angkup depan enam omboh dan rotor 415 mm di depan, diikuti dengan angkup omboh tunggal serta rotor 378 mm di bahagian belakang.

Pembeli juga boleh menaiktaraf kepada sistem brek seramik AMG, namun ia memerlukan naiktaraf rim bersaiz 21 inci, serta rotor hadapan yang jauh lebih besar (440 mm x 40 mm).
 

AMG


Disebabkan EV secara azalinya tiada bunyi mekanikal, kedua-dua EQE AMG ini tampil dengan pengalaman bunyi yang unik menerusi sistem pembesar suara, bass actuator dan penjana bunyi khusus dengan tiga pilihan iaitu Balanced, Sport dan Powerful.

Dari segi kuasa, kedua-dua sedan ini tampil dengan motor elektrik berkembar serta sistem pacuan semua roda, di mana versi 'asas' 43 mampu menjana kuasa setinggi 469 hp dan daya kilas 858 Nm, pecutan 0-100 km/j dalam masa 4.2 saat dan kelajuan maksimum 210 km/j.

Sementara versi 53 4MATIC+ AMG pula mampu menghasilkan kuasa sehingga 617 hp dan 950 Nm, pecutan 0-100 km/j sepantas 3.5 saat dan kelajuan maksimum 220 km/j.

Tidak cukup? Usah risau kerana pihak AMG turut menawarkan pakej AMG Dynamic Plus yang menyahkunci potensi sebenar kereta ini kepada 677 hp dan 1,000 Nm, di mana pecutan 0-100 km/j kini jauh lebih pantas (3.3 saat) dan kelajuan tertinggi 240 km/j.
 

AMG


Pek bateri berkapasiti 90.6 kWh pula membolehkan pemanduan sejauh 462 km sehingga 533 km atau 444-518 km pada model 53 4MATIC+ AMG mengikut data WLTP (Worldwide Harmonized Light Vehicle Test Procedure).

Aspek pengecasan pula didatangkan dengan unit pengecas on-board standard 11 kW yang boleh dinaiktaraf kepada pengecas 22 kW, serta keupayaan pengecasan pantas 170 kW di mana jarak 180 km boleh dicapai dalam tempoh 15 minit.

Mercedes-AMG turut meningkatkan lagi tahap kecekapan pengurusan bateri dengan keupayaan kemaskini over-the-air bagi membolehkan sistem ini mendapat penambahbaikan yang berterusan sepanjang tempoh kitaran hidup.

Terdapat juga fungsi Eco Charging yang mampu mengurangkan beban bateri ketika pengecasan sekaligus memanjangkan hayat bateri, serta fungsi pemilihan pengecasan pada waktu bukan puncak di mana kos tenaga adalah lebih murah.

Selain itu, pek bateri boleh dipanaskan atau disejukkan bergantung kepada kondisi pemanduan semasa bagi membolehkan ia mencapai suhu optimum yang sesuai untuk memulakan pengecasan pantas di lokasi yang ditetapkan.
 

AMG


Ruang kabin pula menempatkan tempat duduk sports AMG dengan kulit buatan manusia Artico, insert mikrofiber, jahitan kontras merah, roda stereng jenis bawah rata, pedal sports, alas lantai AMG.

Terdapat opsyen untuk balutan kulit Nappa, serta MBUX Hyperscreen yang terdiri daripada tiga paparan skrin yang berbeza itu.