Mercedes-AMG CLA 45 2027 rasmi - Kembali sebagai EV, 680 HP, 1,759 Nm!

oleh Danial Yasin Suhaimi|
Mercedes-AMG menghidupkan semula nama CLA 45, namun kali ini dengan pendekatan yang berbeza apabila model prestasi kompak itu tampil sebagai kenderaan elektrik (EV) sepenuhnya.

Enjin 2.0 liter turbo empat silinder yang sebelum ini menjadi identiti CLA 45 digantikan dengan sistem pacuan tiga motor elektrik yang menawarkan prestasi jauh lebih mengagumkan.

Model baharu itu ditawarkan dalam dua versi iaitu sedan dan Shooting Brake (wagon), dengan kedua-duanya menggunakan teknologi motor fluks paksi (axial-flux motor) yang turut digunakan pada Mercedes-AMG GT 4-Door Coupe.

Mercedes-AMG CLA 45 EV menggabungkan satu motor elektrik di hadapan dan dua motor di gandar belakang, mampu menghasilkan kuasa maksimum sehingga 680 HP. 

 

2

 

Kuasa asasnya ialah 612 hp, jauh mengatasi model CLA 45 terdahulu yang menghasilkan 416 hp menerusi enjin petrol empat silinder.

Lebih mengagumkan ialah angka tork yang mencecah 1,759 Nm, lebih tiga kali ganda berbanding 500 Nm yang dihasilkan oleh CLA 45 generasi sebelumnya.

Kuasa disalurkan ke keempat-empat roda menerusi sistem pacuan semua roda 4MATIC dengan agihan kuasa berubah-ubah secara pintar. 

Untuk meningkatkan kecekapan, motor hadapan akan dinyahaktifkan secara automatik ketika tidak diperlukan, membolehkan kereta dipandu menggunakan pacuan roda belakang sahaja dalam situasi tertentu.

 

3

 

Prestasi yang ditawarkan setanding dengan supercar apabila kedua-dua varian sedan dan Shooting Brake mampu memecut dari 0 hingga 100 kmj dalam hanya 3.0 saat.

Kelajuan maksimum pula dihadkan kepada 250 kmj, namun dengan pakej AMG Dynamic Plus, had itu meningkat kepada 270 km/j.

Tenaga untuk ketiga-tiga motor elektrik dibekalkan oleh bateri lithium-ion berkapasiti 94 kWh, dengan jarak gerak 670 km untuk versi sedan dan 640 km untuk Shooting Brake mengikut kiraan WLTP.

Sistem pengecasan pantas 330 kW DC membolehkan bateri dicas daripada 10 hingga 80 peratus dalam hanya 22 minit, di mana pengecasan selama 10 minit sudah mencukupi untuk menambah jarak perjalanan sehingga 270 kilometer.

 

4

 

Seperti AMG GT elektrik, CLA 45 EV turut dilengkapi teknologi yang mensimulasikan pengalaman memandu kereta berenjin pembakaran dalaman.

Model itu menawarkan simulasi pertukaran gear, lengkap dengan bunyi enjin tiruan, namunerbeza dengan AMG GT EV yang meniru bunyi enjin V8, CLA 45 EV menghasilkan bunyi menyerupai enjin empat silinder turbo.

Bukan itu sahaja, tempat duduk turut menghasilkan getaran bagi meniru karakter enjin petrol, manakala paparan instrumen digital dilengkapi indikator gear dan meter RPM maya untuk memberikan pengalaman pemanduan yang lebih realistik.

Di bahagian dalaman, CLA 45 EV mengekalkan konsep kabin digital Mercedes-Benz dengan paparan skrin bersaiz besar merangkumi panel instrumen dan sistem infotainmen.

 

5

 

Menariknya, bahagian belakang hanya menyediakan dua tempat duduk individu, berbeza dengan CLA standard yang menawarkan tiga tempat duduk belakang.

Seperti kebanyakan EV berprestasi tinggi, berat badan model itu juga agak tinggi, versi Shooting Brake mempunyai berat sekitar 2,295 kg, iaitu kira-kira 15 kg lebih berat berbanding versi sedan.

Dengan kuasa 680 HP, pecutan 0-100 kmj dalam 3.0 saat serta teknologi simulasi gear dan bunyi enjin, Mercedes-AMG CLA 45 EV membuktikan bahawa era elektrifikasi tidak semestinya mengorbankan keseronokan memandu. 

Sebaliknya, AMG cuba menggabungkan prestasi luar biasa sebuah EV dengan karakter pemanduan yang sinonim dengan model prestasi berenjin pembakaran dalaman.

 

Berita Berkenaan

Berita Global
Dinamakan sebagai AMG Aerodynamics Package Plus, penawaran kit ini merangkumi pemasangan splitter…
Berita Global
Memperkenalkan, Mercedes-AMG CLA 45 4MATIC+ Shooting Brake.  Jika CLA 35 didatangkan dengan nadi…
Berita Global
Setelah sekian lama menerjah internet dalam keadaan dibalut oleh pelekat samaran, akhirnya Mercedes…