Mercedes-AMG C 63 S E Performance 2023 - pilihan bentuk badan sedan dan wagon, 671 hp, 1020 Nm!

oleh Mohamad Hanif|
Dengan pelancaran model kembar sedan & wagon pantas Mercedes-AMG C 63 S E Performance 2023 yang baharu sahaja diumumkan oleh Mercedes-AMG, ia seakan memberikan amaran keras kepada pesaing rapatnya, BMW M3 Sedan dan BMW M3 Touring.
PERODUA MREC Banner Campaign February 2024
HONDA CR-V MREC Banner Campaign March 2024

Tidak seperti model terdahulu, kali ini Mercedes-AMG menekankan teknologi hibrid untuk dipadankan pada trenkuasa sedan dan wagon C 63 S ini.

Tiada lagi nadi V8 atau V6, Mercedes-AMG C 63 S kini didatangkan dengan enjin 2.0 liter turbo M139L yang juga wujud pada model roadster SL43, namun didatangkan dengan unit pengecas turbo elektrik yang lebih besar.
 

C63S


Unit enjin ini sahaja mampu menjana kuasa setinggi 470 hp dan daya kilas 545 Nm, sebelum diberikan janaan motor elektrik pada gandar belakang berkuasa 201 hp, dibantu dengan LSD kawalan elektronik dan unit pacuan dua kelajuan.

Pek bateri 6.1 kWh pula membolehkan sedan/wagon C 63 S AMG ini bergerak sejauh 13 km pada kelajuan 125 km/j tanpa memerlukan setitik petrol.
 

C63S


Secara keseluruhan, ia mampu menjana kuasa setinggi 671 hp dan daya kilas 1,020 Nm, jauh lebih berkuasa berbanding BMW M3 Competition, dengan pecutan 0-100 km/j sepantas 3.4 saat sebelum mencapai kelajuan tertinggi 250 km/j (boleh ditingkatkan kepada 280 km/j).

Buat pertama kalinya, Mercedes-AMG mendatangkan sistem pacuan semua roda 4MATIC+ yang digandingkan dengan sistem transmisi automatik sembilan nisbah kelajuan.
 

C63s


Selain itu, ciri stereng gandar belakang juga turut membuat kemunculan pada model C 63 S, selain kelengkapan lain seperti brek karbon, peredam adaptif, pemilihan mod pemanduan AMG Dynamics, serta paparan grafik spesifik AMG pada skrin kluster digital dan paparan head-up.

Sebagai sebuah PHEV, Mercedes-AMG C 63 S E Performance ini turut menawarkan ciri pemanduan pedal tunggal.

Dari segi penampilan luaran, Mercedes-AMG C 63 S tidaklah seagresif pesaingnya yang mempunyai gril buah pinggang berkembar seluas alam semesta itu.
 

C63S


Kedua-dua sedan dan wagon C 63 S itu didatangkan dengan jeriji hadapan Panamericana, dimensi fender depan yang bertambah tiga inci, logo AMG pada bahagian hud enjin, serta lencana Turbo E Performance.

Rim pula bersaiz 19 inci dan boleh ditukarkan kepada rim 20 inci, dibantu dengan sistem suspensi adaptif dan spring keluli pada keempat-empat sudut, sementara bahagian belakang pula menampilkan set tip ekzos trapezoid tipikal untuk sebuah AMG bernombor 63.
 

C63s


Biarpun dengan prestasi dan angka kuasa kuda yang menakjubkan, ia tidak dapat menyembunyikan hakikat bahawa model terbaharu AMG ini sudah pun mencecah berat lebih 2,000 kg.

Menurut Mercedes-AMG, C 63 S E Performance 2023 ini mempunyai berat badan sekitar 2,036 kg yang jauh lebih berat berbanding sedan C 63 S terdahulu dengan berat sekitar 1,680 kg sahaja, sementara wagon pula mempunyai kelebihan berat 34 kg berbanding model sedan.
 

C63S


Ruang kabin pula terdapat kelengkapan yang sama ditawarkan pada model C-Class standard, dengan ciri unik seperti paparan spesifik AMG, ciri pemasa litar, pemilihan butang mod pemanduan (Electric, Comfort, Sport, Sport+, Race, Battery Hold & Slippery) pada roda stereng, serta opsyen tempat duduk sport AMG dengan rekaan bolster yang lebih agresif.

Setakat ini, harga jualan masih belum diumumkan oleh Mercedes-AMG.

Berita Berkenaan

Berita Domestik
Daripada jumlah tersebut, Proton Saga masih lagi kekal sebagai model Proton yang paling laris…
Berita Global
Untuk itu, divisyen R3 Motorsports yang kini berada dibawah naungan Proton Global Services (PGS)…
Berita Global
Model segmen C Skoda ini masih lagi mengekalkan bentuk badan sedan (Limo) dan wagon (Combi) untuk…