Untuk tempoh masa terhad, C 63 S E Performance ini boleh didapati dalam versi F1 Edition dengan liveri yang diinspirasikan daripada sukan permotoran berprestij itu.
Bahagian luar sedan pantas ini dilayangkan dengan warna Manufactur Alpine Grey Uni dengan bahagian bawah badan yang sengaja digelapkan, sebelum dikemaskan dengan warna aksen merah pada komponen aerodinamik.
Set rim 20 inci AMG turut didatangkan dengan warna aksen merah itu tadi.
Mercedes-AMG menawarkan pakej AMG Aerodynamics secara standard, merangkumi splitter hadapan, spoiler belakang, diffuser dan kemasan sisi yang sedikit berbeza, sebelum ditambah dengan pakej AMG Night Package I & II yang menambah aksen hitam berkilat dan krom hitam pada jeriji, tip ekzos dan lencana.
Sementara penutup tangki bahan api pula didatangkan dengan kemasan krom perak.
Ruang kabin C 63 S ini didatangkan dengan roda stereng AMG Performance, tempat duduk sports balutan kulit Nappa dengan jahitan kontras merah, trim karbon merah pada papan pemuka, scuff plate bercahaya, serta alas lantai AMG dengan logo F1.
Dari segi kuasa, Mercedes-AMG C 63 S E Performance mendapat nadi 2.0 liter turbo yang digandingkan dengan motor elektrik pada gandar belakang, dengan output kuasa 671 hp dan 1,020 Nm secara keseluruhan.
Selain daripada sedan, pakej F1 ini juga boleh dipadankan pada C 63 S versi wagon.