Dari segi luaran, C 43 AMG ini tidak menampilkan perbezaan yang ketara, melainkan pemasangan gril hadapan Panamericana, kemasan hitam menggantikan warna krom di sekeliling tingkap, empat tip ekzos, serta spoiler kecil pada bahagian belakang.
Keempat-empat sudut dipadankan dengan rim bersaiz 18 inci.
Tidak seperti model C 43 terdahulu, Mercedes-AMG kini membawakan nadi M139l 2.0 liter turbo dengan sistem hibrid ringan 48 voltan yang mampu menjana kuasa setinggi 402 hp dan 500 Nm.
Menurut Mercedes, unit turbo yang terdapat pada enjin M139l ini menggunakan teknologi yang diperoleh daripada F1 bagi mengurangkan kesan sela, dengan mengintegrasikan motor elektrik ke atas aci pengecas turbo.
Kuasa itu tadi disalurkan kepada sistem pacuan semua roda 4MATIC (nisbah pengagihan kuasa 31:69) menerusi transmisi automatik sembilan nisbah kelajuan.
Terdapat beberapa mod pemanduan yang didatangkan secara standard, termasuklah Sport, Sport+, Comfort, Individual, serta fungsi Race Start yang mampu mengoptimasikan pecutan dari pegun.
Secara standard, sistem gantungan C 43 AMG ini dilengkapi dengan AMG Ride Control, Adaptive Damping System serta sistem stereng gandar belakang.
Susun atur ruang kabin yang diinspirasikan daripada model S-Class itu masih lagi dikekalkan, dengan penambahan elemen sporti seperti tempat duduk AMG, roda stereng AMG bawah rata, pedal sports AMG, diikuti dengan jahitan merah.
Setakat ini harga jualan Mercedes-AMG C 43 2023 masih lagi belum diumumkan.