Mercedes-AMG bakal hasilkan enjin V8 generasi baharu

oleh Danial Yasin Suhaimi|
Beberapa tahun lalu, Mercedes-AMG dilihat agresif bergerak ke arah enjin kecil dengan bantuan elektrifikasi, termasuk penggunaan sistem plug-in hybrid empat silinder pada Mercedes-AMG C63 generasi baharu.

Namun, strategi tersebut dikatakan tidak mencapai sasaran jualan yang diharapkan kerana ramai peminat masih mahukan karakter AMG klasik dengan bunyi garang dan kuasa daripada enjin V8.

Kini, divisyen prestasi dari Affalterbach itu mengakui mereka telah mendengar maklum balas pelanggan dan sedang membangunkan enjin V8 baharu untuk beberapa model masa hadapan. 

Walaubagaimanapun, AMG menegaskan enjin lapan silinder tersebut tidak akan kembali ke Mercedes-AMG C63, sebaliknya ia akan digunakan pada model lebih premium dan bersaiz besar seperti SUV prestasi tinggi serta coupe eksklusif.

CEO AMG, Michael Scheibe, mengesahkan debut enjin V8 baharu itu akan berlaku pada hujung tahun ini menerusi model SUV sebelum diperluaskan kepada model lain. 

Antara model yang disebut-sebut bakal menerima kuasa V8 ialah model khas berasaskan Mercedes-AMG CLE Coupe dalam siri Mythos, yang dikhabarkan menghasilkan sekitar 646 hp tanpa bantuan motor elektrik. 

 

2

 

Selain itu, versi Mercedes-AMG GT Black Series baharu juga dijangka menggunakan konfigurasi sama, AMG turut memberi bayangan kemungkinan kembalinya Mercedes-AMG E63 untuk bersaing dengan BMW M5 dan Audi RS6 Avant. 

Jika benar menjadi kenyataan, model tersebut hampir pasti akan menggunakan enjin V8 kerana AMG melihat konfigurasi itu lebih sesuai untuk identiti prestasi jenama tersebut.

Enjin baharu yang sedang dibangunkan dipercayai evolusi kepada unit 4.0-liter twin-turbo flat-plane crank V8 yang kini digunakan pada Mercedes-Benz S-Class dan Mercedes-Benz GLS facelift 2027. 

Dalam model standard, enjin itu menghasilkan 530 hp dan 750 Nm tork, namun versi AMG dijangka menawarkan kuasa jauh lebih tinggi menerusi evolusi “M177 Evo”.

Menariknya, AMG turut mengakui sistem plug-in hybrid empat silinder mungkin tidak lagi menjadi pilihan utama untuk model masa depan kerana faktor berat tambahan daripada bateri dan komponen elektrifikasi. 

Menurut Michael Scheibe, untuk menghasilkan kereta prestasi ringan dan menyeronokkan dipandu, enjin V8 tanpa sistem hibrid kadangkala lebih ideal.

 

3

 

Walaupun begitu, model AMG berasaskan plug-in hybrid masih akan diteruskan, khususnya untuk pasaran dengan peraturan emisi ketat seperti Eropah. 

Model seperti Mercedes-AMG GLE 53 dan Mercedes-AMG E53 akan terus ditawarkan sebagai kompromi antara prestasi dan kecekapan bahan api.

Bagi Mercedes-Benz C-Class pula, AMG mengesahkan sedan tersebut bakal menerima varian baharu menggunakan enjin enam silinder “free-revving”. 

Ia dijangka berkongsi teknologi dengan Mercedes-AMG GLC 53 yang menggunakan enjin inline-six M256M menghasilkan 443 hp dan 600 Nm, termasuk fungsi overboost sehingga 640 Nm selama 10 saat.

Hala tuju baharu AMG menunjukkan jenama itu kini kembali memberi fokus besar kepada enjin pembakaran dalaman, khususnya konfigurasi enam silinder dan V8, sambil mengekalkan identiti prestasi tradisional yang selama ini menjadi daya tarikan utama AMG.

 

Sumber: Car Magazine

 

Berita Berkenaan

Model Terbaharu
Enjin 2.0 liter turbo empat silinder yang sebelum ini menjadi identiti CLA 45 digantikan dengan…
Berita Global
Menariknya, ia bukan sekadar sebuah jentera konsep biasa, tetapi sebuah projek dua dalam satu yang…
Berita Global
Imej baharu yang didedahkan menunjukkan kabin model ini direka dengan pendekatan digital sepenuhnya…