Mercedes 190E Evolution II casis #130/502 untuk dijual!

oleh Mohamad Hanif|
Bagi para peminat dan pengikut jenama Mercedes-Benz, '190E Evolution' sudah tentu merupakan satu nama yang sangat ikonik dan sukar untuk dilupakan pada era penghujung 1980-an.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Mercedes mahu menewaskan penguasaan BMW di dalam perlumbaan Deutsche Tourenwagen Masters, jadi mereka membuat keputusan untuk menukarkan Mercedes 190E bernadikan Cosworth 2.3-16 menjadi sebuah jentera lumba sebenar. 

Evo I hadir pada Mac 1989 dengan spoiler belakang yang cukup tinggi serta kit badan yang lebar, dan sebanyak 502 unit telah diproduksikan sebagai memenuhi syarat homologasi yang ditetapkan oleh DTM.
 


Model Evolution II pula hadir setahun selepas itu dengan membawakan modifikasi yang lebih ekstrem termasuklah:

  • talaan AMG Powerpack menghasilkan 232 hp/245 Nm daripada enjin empat silinder sebaris 2.5 liter Evo I
  • sistem suspensi boleh laras SLS
  • kit badan seperti sayap belakang boleh laras, spoiler tingkap belakang
  • rim aloi Evolution II bersaiz 17 inci

Kit badan yang direka oleh Prof. Richard Eppler dari University of Stuttgart ini didakwa mampu mengurangkan kadar pekali seretan kepada 0.29 dan dalam masa yang sama mampu meningkatkan daya turun jentera!
 


Jadi, jika anda memiliki wang yang tidak pernah habis dimakan, boleh mencuba nasib menerusi Bring A Trailer untuk mendapatkan sebuah jentera Mercedes 190E 2.5-16 Evolution II 1990.

Kereta dengan kod casis #130 daripada 502 unit yang pernah dihasilkan ini menerima kemasan warna Blue-Black Metallic, dan masih kekal dengan kit badan standard Evo II. 

Unit ini disimpan oleh tuan asalnya selama hampir 29 tahun dengan jarak perbatuan kini mencecah 135,000 kilometer. 
 


Ruang dalaman juga masih kekal utuh terjaga rapi dan bersih tanpa sebarang kesan penuaan pada tempat duduk Recaro, serta trim zebrawood pada papan pemuka. 

Harga bidaan pada ketika ini sedang bertahan pada takat $115,000 (RM471,331) dan akan tamat dalam tempoh tiga hari lagi.