Merc C 124 230CE - kereta terlajak kacak dari Segamat!

oleh Mohamad Hanif|
PERODUA MREC Banner Campaign February 2024
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01

Tahukah anda, Mercedes-Benz W124 merupakan generasi pertama yang memakai nama E-Class secara rasmi bagi menggantikan khidmat model W123 yang ditamatkan pada tahun 1985.

Casis W124 ini juga merupakan antara model yang paling lama diproduksikan, memakan masa lebih 11 tahun sehingga pada tahun 1995.

Dengan reka bentuk yang masih malar segar dan tidak lapuk ditelan zaman, W124 antara casis yang agak popular untuk dijadikan kereta eksekutif bajet. 
 


Apabila ia menggunakan nama Mercedes-Benz di hadapannya, anda sudah boleh jangkakan perbezaan kualiti berbanding model-model eksekutif yang seusia dengannya. 

Sedan W124 (baik yang standard, atau yang sudah dimodifikasi) mungkin agak biasa didapati melata di jalan raya, namun bagaimana pula dengan model yang kami sajikan ini? 

Untuk pengetahuan, Mercedes-Benz juga turut menghadirkan versi coupe menggunakan casis yang sama, namun lebih pendek 85 mm berbanding sedan W124.

Coupe ini menggunakan kod designasi C 124 juga cukup panjang tarikh produksinya, bermula dari 1987 sehinggalah lewat tahun 1996 dan ia menampilkan ciri-ciri termaju pada ketika itu seperti sistem suspensi multi-link, ABS, cermin dengan pemanas terbina dalam (daripada model S-Class), washer reservoir, hos dan nozel juga dengan unit pemanas terbina dalam. 
 


Salah satu unit C 124 230CE tahun 1987 ini akhirnya berada di tangan Muhammad Khairul Anwar yang kini bertugas di Majlis Perbandaran Segamat. 

Pada mulanya, Khairul mengaku agak berputus asa untuk meneruskan proses restorasi kereta ini, dan dalam keadaan standard, coupe ini seakan tiada nilai. 

Didorong semangat yang tidak mudah kalah, Khairul mula menjalankan langkah pertama bagi memastikan C 124 ini masih gagah meluncur di jalan raya dan mampu membuatkan orang berpaling melihat kehenseman kereta playboy ini. 

Enjin empat silinder sebaris asal 2.3 liter M102.982 itu dibaik pulih semula bagi mengembalikan tenaga 130 ekor kuda yang didatangkan mengikut spesifikasi kilang asal. 
 


Untuk tidak mendatangkan masalah dikemudian hari, enjin tersebut dibiarkan standard, manakala untuk menyalurkan gas-gas hasil pembakaran dengan cemerlang, sistem ekzos pula telah digantikan sepenuhnya dengan sistem daripada Remus. 

Aspek dalaman pula tidak disentuh banyak, melainkan dengan modifikasi secukup rasa terhadap kluster meter kepada meter daripada model W124 3.6 AMG, dan juga stereng Mercedes Sportline. 

Bagi menambah daya penarik, bahagian luaran C 124 ini telah menerima kit badan yang terdiri daripada skirting dan spoiler daripada WALD, manakala ruangan arca roda pula padat dihiasi dengan rim sport BBS 18 inci. 

Akhir sekali, keseluruhan Mercedes-Benz C 124 230CE ini dilayangkan dengan warna merah Dunhill dengan kemasan akhir laquer Glassurit yang nampak sesuai dan garang pada coupe lewat tahun 1980-an ini. 
 


Hasilnya, dengan kos modifikasi bernilai RM20,000, coupe yang dipandang sepi sebelum ini ternyata mampu menelengkan leher para peminat dan jauhari yang lebih mengenal manikam. 

Syabas Careta ucapkan!
 

Berita Berkenaan

Berita Domestik
Beliau berkata, penganjur program tersebut turut diminta supaya menitikberatkan pematuhan jalan…
Berita Domestik
"Ahli-ahli politik perlu mempunyai iltizam dalam memastikan kejayaannya (dari segi penggubalan…
Berita Global
Selain daripada itu, Toyota turut mempamerkan konsep ubahsuai bagi dua model pentingnya, iaitu GR…