Menteri Pengangkutan: Tindakan tegas terhadap syarikat jualan kerusi keselamatan kanak-kanak yang tidak diluluskan

oleh SALINA JALIL|
Kementerian Pengangkutan akan bekerjasama dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Pengguna (KPDNHEP) untuk memantau dan memastikan penjualan kerusi keselamatan kanak-kanak (CRS) memenuhi piawaian selepas ia dikuatkuasakan mulai 1 Januari lalu.


Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook, berkata KPDNHEP akan mengambil tindakan kepada syarikat-syarikat pembekal yang menjual CRS tidak mengikut piawaian di bawah Akta Perihal Perdagangan 2011 dan Akta Perlindungan Pengguna 1999.
PERODUA MREC Banner Campaign February 2024
HONDA CR-V MREC Banner Campaign March 2024

 

“Selepas 1 Januari, produk-produk yang masuk pasaran mesti memenuhi piawaian sebab kebanyakan CRS telah diimport,” katanya.

 

Beliau berkata demikian selepas melancarkan Ops Bersepadu dan Kempen Keselamatan Jalan Raya Peringkat Kebangsaan Tahun 2020 bersempena sambutan Tahun Baru Cina di kawasan Rehat dan Rawat (RNR) Tapah arah utara di sini hari ini.

 

Beliau berkata bagaimanapun kementeriannya mengambil pendekatan praktikal dengan membenarkan ibu bapa menggunakan kerusi keselamatan kanak-kanak yang telah dibeli sebelum penguatkuasaan penggunaan kerusi tersebut awal tahun ini.

 

“Apa yang kita lakukan sekarang adalah penguatkuasaan dari segi pemakaian sahaja, jadi kita nak jelaskan kepada orang ramai bahawa jangan bimbang sebab banyak persoalan telah ditimbulkan ibu bapa ada yang sudah beli CRS tidak mengikut piawaian jadi mereka boleh gunakan.

 

“Sebab kita tidak mahu memaksa pengguna tetapi kita menasihatkan supaya mereka periksa dulu sebelum membeli dan ikut garis panduan. Ada pelekat dan kod QR yang dipaparkan pada kerusi,” katanya.

 

Loke berkata, setakat ini, kerajaan tidak mempunyai perancangan untuk mewajibkan penggunaan kerusi keselamatan kanak-kanak itu pada kenderaan lain.

 

“Begitu juga pemandu e-hailing ia dianggap sebagai kenderaan perkhidmatan awam jadi kita tidak mandatori kepada kenderaan berkenaan. Jika ada (mandatori) kita akan umum tetapi setakat ini belum lagi,” katanya.

 

crs

 

Dalam pada itu, beliau berkata penjualan kerusi keselamatan kanak-kanak berkenaan telah meningkat lebih dua kali ganda sejak Nov tahun lepas sebelum ia dikuatkuasakan 1 Januari lalu.

 

Kerajaan sebelum ini mengumumkan penggunaan CRS di dalam kenderaan persendirian, yang diwajibkan awal tahun ini, bagi menyelamatkan bayi dan kanak-kanak, daripada mengalami kecederaan serius atau kematian sekiranya berlaku kemalangan.

 

Langkah baharu itu susulan statistik membimbangkan, iaitu 1,559 kematian dicatatkan membabitkan kanak-kanak di bawah umur 10 tahun dari 2007 hingga 2017.

 

Bagaimanapun, tiada saman akan dikeluarkan kepada ibu bapa yang gagal menggunakan CRS, dalam tempoh enam bulan pertama pelaksanaan, yang bersifat mendidik terlebih dahulu.

 

Pada Oktober tahun lalu, Pegawai Penyelidik Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros), Nurulhana Borhan, berkata hanya kerusi keselamatan kanak-kanak yang mempunyai piawaian keselamatan EN ECE R44/04 dan R129 dibenarkan digunakan di Malaysia.

 

Katanya, piawaian itu ditetapkan oleh Peraturan Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNR) sebagai langkah keselamatan kanak-kanak yang mempunyai ketinggian kurang 135cm.

 

 

Sumber: Bernama

Berita Berkenaan

Informasi
  MIROS dalam kenyataan hari ini (Sabtu) telah memaklumkan program rebat pembelian kerusi…
Informasi
Menurut Institut Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS), kanak-kanak yang mempunyai ketinggian…
Berita Domestik
  Katanya, kementerian juga sedang merangka cara penyelesaian jangka panjang yang dapat melindungi…