Menteri Pengangkutan Singapura dicutikan, terlibat siasatan kes rasuah

oleh Danial Yasin Suhaimi|
Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong diberitakan telah meminta menteri pengangkutan negara itu untuk bercuti, mengatakan beliau terlibat dalam siasatan agensi antirasuah.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Pada Rabu lalu, Lee dalam kenyataannya mengatakan bahawa S. Iswaran adalah antara beberapa individu tidak dinamakan yang kini membantu Biro Siasatan Amalan Rasuah Singapura.

Beliau berkata, "Saya telah mengarahkan Menteri Iswaran untuk mengambil cuti sehingga siasatan ini selesai."

Setakat ini, tiada maklumat lengkap mengenai kes tersebut.

Sehubungan itu, Menteri Negara Kanan Chee Hong Tat telah dilantik sebagai pemangku menteri pengangkutan.

Pengumuman itu dibuat beberapa minggu selepas semakan terhadap dakwaan yang dibuat terhadap dua menteri kabinet lain berhubung penyewaan banglo milik kerajaan Singapura.

Kajian semula yang diketuai oleh seorang anggota kanan kabinet Lee mendapati tiada asas dalam dakwaan rasuah dan salah guna kuasa terhadap Menteri Undang-undang dan Hal Ehwal Dalam Negeri K. Shanmugam dan Menteri Luar Vivian Balakrishnan.

Kedua-dua menteri itu tidak diminta bercuti.

Sejak kerjaya politik Iswaran pada pilihan raya 1997, dia telah berkhidmat di kementerian pendidikan, hal ehwal dalam negeri, perdagangan dan industri, serta komunikasi dan maklumat.

Sebelum menceburi bidang politik, Iswaran merupakan naib presiden kanan dan pengarah urusan di pelabur negeri Temasek Holdings.

Singapura merupakan antara negara di dunia yang membayar menterinya dengan gaji tertinggi, dimana mereka sentiasa berbangga dengan reputasinya yang bersih dan kini berada di tempat kelima dalam indeks Corruption Perception Index.

 

Sumber: CNBC