Menteri Pengangkutan - Lupus kenderaan lebih 10 tahun tidak sesuai, hanya 22 juta kenderaan yang aktif

oleh SALINA JALIL|
gambar hiasan
Cadangan supaya kenderaan yang melepasi had usia lebih 10 tahun dilupuskan bagi menyelesaikan masalah kesesakan lalu lintas, masih belum sesuai dilaksanakan di negara ini.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, berkata dasar sedemikian jika mahu dilaksanakan memerlukan kajian terperinci di samping kesediaan dan kemampuan rakyat negara ini.

BHPETROL Euro5 Diesel MREC Banner Campaign Sep 2023

 

Katanya, setakat ini terdapat lebih 34 juta kenderaan berdaftar secara rasmi dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), namun hanya 22 juta sahaja yang aktif memperbaharui cukai jalan.

 

"Kerajaan sentiasa dengar pandangan dan idea pakar, namun dasar supaya melupuskan kenderaan yang melepasi had usia lebih 10 tahun masih tidak sesuai dilaksanakan di negara kita.

 

"Penyelesaian isu kesesakan di jalan raya kita bukan itu sahaja (pelupusan kenderaan lebih 10 tahun) kerana ia memerlukan pendekatan holistik dan menyeluruh.

 

"Jika dasar ini mahu dilaksanakan, kita terlebih dahulu perlu ada jaringan pengangkutan sempurna termasuk di luar bandar dan kampung, namun ketika ini pun jaringan lengkap projek Transit Aliran Massa (MRT) di Lembah Klang masih belum siap dibina," katanya.

 

Ka Siong berkata demikian pada sidang media selepas pelepasan perkhidmatan Tren Shuttle KTMB JB-Singapura di JB Sentral, di sini, hari ini.

 

Turut hadir, Pengerusi KTMB, Datuk Musa Sheikh Fadzir dan Ketua Eksekutif KTMB, Mohd Rani Hisham Samsudin.

 

Khamis lalu, sekumpulan penyelidik dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dilaporkan menyarankan beberapa mekanisme bagi menyelesaikan masalah kesesakan jalan raya di ibu kota.

 

Kumpulan pakar diketuai oleh Pakar Psikologi Trafik dan Keselamatan Jalan Raya UKM, Profesor Dr Rozmi Ismail dilaporkan mencadangkan supaya kenderaan di Malaysia mempunyai had usia tidak lebih 10 tahun dilupuskan supaya tidak berada di jalan sekali gus bertujuan menyeimbangkan jumlah antara kenderaan baharu dan lama di atas jalan raya.

 

Presiden MCA yang juga Ahli Parlimen Ayer Hitam berkata, hasil daripada penelitian dilakukan pihaknya mendapati majoriti daripada 12 juta kenderaan tidak aktif di atas jalan raya dan tidak memperbaharui cukai jalan kerana kenderaan lama, terdapat pemilik atau pewaris yang hendak menyimpan nombor pendaftaran kenderaan lama di samping hanya menggunakan kenderaan itu di kampung.

 

"Kita ada data, siapa tidak bayar cukai jalan tetapi sistem yang lebih menyeluruh diperlukan bagi mengenalpasti kenderaan aktif dan tidak aktif ini. Kemudian bila sudah ada sistem yang lengkap, kita akan lihat secara terperinci punca sebenar kenderaan tidak aktif ini.

 

"Banyak lagi perkara perlu diteliti jika mahu melaksanakan sebarang dasar besar termasuk pelupusan kenderaan melebihi 10 tahun kerana isu berkenaan cukup kompleks meskipun terdapat banyak negara yang sudah membuat dasar itu termasuk Singapura.

 

"Jika hendak dilaksanakan, dasar automotif negara perlu dilihat semula kerana dasar itu menggalakkan pemilikan kenderaan buatan Malaysia," katanya.

 

 

 

Berita Harian

Berita Berkenaan

Berita Domestik
"Saya ada memberi cadangan kepada MAS supaya penumpang terjejas perlulah diberikan sedikit layanan…
Informasi
Projek pembangunan semula itu akan memfokuskan kepada penambahan kapasiti, selain mempertingkatkan…
Berita Domestik
"Stiker (cukai jalan fizikal) masih dikeluarkan, cuma ada beberapa cawangan kehabisan stok jadi…