Menteri Pengangkutan - Kecuaian pemandu punca nahas LRT

oleh SALINA JALIL|
Siasatan awal mendapati kemalangan tren LRT laluan Kelana Jaya di KLCC semalam adalah disebabkan kecuaian.


Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, sistem kawalan LRT sepatutnya dikawal secara automatik sepenuhnya, namun ketika kejadian semalam, sebuah tren dipandu secara manual.


Katanya, berdasarkan laporan awal, tren yang mengalami masalah teknikal itu dipandu secara salah menyebabkan ia bertembung dengan tren yang mempunyai penumpang.

 

"Siasatan awal adalah berpunca daripada kecuaian dan kesilapan pemandu.

 

"Kalau ikutkan semua tren dikendalikan secara automatik, tetapi disebabkan satu daripada tren iaitu nombor 40 mengalami masalah teknikal, pemandu terpaksa memandunya ke depoh.

 

"Dalam perjalanan, pemandu berkenaan memandu salah arah. Ia menyebabkan tren bernombor 40 bertembung dengan tren bernombor 81 yang membawa lebih 200 penumpang," katanya ketika ditemubual secara langsung di Bernama TV hari ini.

 

Menurutnya, Prasarana sudah membuat laporan polis untuk membolehkan siasatan dijalankan sama ada kejadian itu berunsurkan jenayah atau sebaliknya.

 

"Kalau elemen jenayah ini kita bagi polis yang siasat.

 

"Bagi Kementerian Pengangkutan kita akan siasat dari segi teknikal dan bagaimana kita boleh tambah baik kerana sistem pengangkutan awam ini sangat penting," katanya.

 

Beliau berkata, walaupun kelajuan tren itu tidak begitu tinggi, tetapi apabila bertembung ia menghasilkan impak yang kuat.

 

Mengenai Jawatankuasa Siasatan, beliau berkata, mereka terdiri daripada pakar dalam bidang masing-masing yang ditugaskan segera untuk mengumpul semua laporan siasatan sebelum dibentang sebagai laporan akhir.

 

"Sekurang-kurangnya lima orang daripada pakar daripada luar akan membantu kita di dalam pasukan khas ini.

 

"Mereka ini adalah pakar dalam bidang berkaitan termasuk pakar dalam pengangkutan, pelanggaran, protokol dan keselamatan.

 

Wee berkata, pakar juga akan melihat beberapa elemen termasuk komunikasi dan semua aspek di mana berlakunya kesilapan.

 

"Saya akan pastikan laporan ini akan dibuat secara telus. Kita nak pandang ke depan untuk menambah baik sistem pengangkutan kita," katanya.

 

Katanya, seramai 64 mangsa menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur setakat jam 7.55 pagi hari ini.

 

Dalam kejadian malam tadi, sekurang-kurangnya 47 penumpang cedera parah apabila dua LRT, masing-masing dari arah Gombak dan Kelana Jaya, bertembung di antara stesen Kampung Baru dan KLCC kira-kira jam 8.33 malam.

 

Dalam sidang media hari ini, Pengerusi Prasarana Malaysia Berhad Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman mengumumkan semua mangsa akan diberikan pampasan RM1,000 setiap seorang serta bantuan kewangan untuk rawatan susulan bersesuaian dengan dengan kecederaan yang ditanggung.

 

Selain itu, bantuan sara hidup juga disediakan kepada mangsa yang kehilangan pendapatan akibat daripada kemalangan itu.

 

 

 

 

Harian Metro

Berita Berkenaan

Berita Global
  Tren itu terdiri daripada empat gerabak dan mampu membawa 1,100 penumpang pada tahap maksimum…
Berita Domestik
Menurut laporan Bernama, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana, Mohd Azharuddin…
Informasi
  "Bagaimanapun, bermula 6 Ogos, KTM Komuter membenarkan semua jenis basikal untuk dibawa menaiki…