"Tetapi kerajaan juga tidak mahu caj berkenaan menambah beban pengguna jika diletakkan terlampau tinggi," katanya ketika menjawab soalan Datuk Azman Nasrudin (PN-Padang Serai) pada Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat pada Khamis.
Azman ingin tahu apakah mekanisme caj kesesakan yang bakal digunakan sekiranya ia dilaksanakan dan jumlah penurunan kesesakan yang dijangka oleh kerajaan.
Dr Zaliha berkata kajian Prasarana Malaysia Berhad pada 2020 menunjukkan kerugian yang ditanggung negara akibat kesesakan jalan raya ialah RM20 bilion.
Kajian pelaksanaan Caj Kesesakan itu dilaksanakan oleh Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) dan Perbadanan Teknologi Hijau dan Perubahan Iklim Malaysia (MGTC).
"Kajian itu merangkumi pelbagai aspek, termasuk mekanisme pelaksanaan, unjuran penurunan jumlah trafik, serta kadar peningkatan penggunaan pengangkutan awam sekiranya caj berkenaan diperkenalkan," katanya.
Dalam masa sama, beliau berkata Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP) akan memastikan usaha memantapkan jaringan pengangkutan awam di Kuala Lumpur berjalan serentak dengan kajian Caj Kesesakan ini.