Menteri patut dengar suara pemandu lori

oleh HEZERI SAMSURI|
Tugas Menteri Pengangkutan kita, Anthony Loke bukannya mudah, terutama sekali bila beliau mengambil alih jawatan dari pimpinan yang tidak begitu mahu berubah.

Terlalu banyak perubahan perlu dilakukan kerana industri logistik sudah jauh berbeza dari zaman 80-an. 

Penambahan keperluan, peningkatan beban kargo dan jumlah trafik, perkembangan teknologi kenderaan dan perubahan tenaga kerja semuanya perlu seimbang.

Tidak ada yang terkejut sekiranya mereka tahu banyak undang-undang berkaitan industri logistik ini masih ditakuk lama dan tidak sesuai lagi untuk ditukar, dan penukaran bakal melibatkan kos yang tinggi serta paling penting, membabitkan lebih dari sepenggal jawatan Menteri.

Yang terakhir itu ialah masalah paling kronik kerana tidak ada ahli politik yang mahu menyambung tugas-tugas lama sahabat/seterunya. 

Kerana itu, bila Menteri bertukar, banyak cara dan kaedah hendak ditukar.

Masalahnya, industri-industri global seperti kehendak logistik tidak berubah mengikut kehendak politik.

 

 

Beberapa malam lalu, saya turun berjumpa dengan sahabat-sahabat dari persatuan dan kelab pemandu lori, trak dan treler.

Pertemuan bermula dari posting Careta berkaitan gambar mogok yang sudah berusia dua tahun, di mana Careta menjemput mana-mana ahli atau wakil dari pemandu lori untuk berjumpa dengan kami dan berkongsi isu-isu semasa pemandu lori.

Semasa saya bertugas di akhbar New Straits Times lebih kurang 15 tahun dahulu, antara isu yang kami naikkan ialah masalah-masalah industri logistik - baik dari pemilik syarikat, mahupun dari pemandu-pemandu lori dan trak.

Ramai pembaca mungkin kurang arif dan hanya melihat golongan pemandu jentera berat ini sebagai mereka yang kasar dan tidak profesional.

Ini adalah tanggapan yang tidak benar sama sekali. Seperti pemandu kenderaan lain, ada segelintir yang cuai di jalanraya tetapi secara majoriti, mereka adalah pemandu yang berdisiplin kerana sebagai pemandu, rekod pemanduan yang tidak baik menyukarkan mereka berkembang di dalam profesion.

Ramai juga tidak tahu masalah-masalah dan kekangan yang mereka hadapi, dan baharu-baharu ini golongan pemandu trak dan lori ada menyuarakan ketidak puasan hati mereka.

Pertemuan Careta bersama Penasihat Gabungan Persatuan Pemandu Pengangkutan Darat Malaysia (GPPPDM), Hairi Md Ali atau Along, 46, bersama rakan-rakan dari kelab-kelab pemandu lori dan trak yang lain membuktikan masalah memang wujud, dan ada antara masalah itu, sudah berusia puluhan tahun tanpa kesudahan.

Gabungan itu mempunyai sembilan persatuan pemandu trak dan lori yang berdaftar dengan ROS dan 60 kelab-kelab yang turut serta bernaung di bawah payung yang sama.

 

 

Isu ujian kesihatan GDL 

Goods Driving License (GDL) atau Lesen Kenderaan Barangan ialah satu keperluan wajib untuk memandu kenderaan syarikat.

Ia dipecahkan kepada tiga kategori - kenderaan ringan (GDL Kelas D), kenderaan berat kejur atau rigid (GDl Kelas E) dan kenderaan bersendi atau treler/kontena/tangki (GLD Kelas E Bersendi)

Lesen GDL hanya dikeluarkan untuk warga Malaysia sahaja.

Antara syarat-syarat untuk memiliki GDL ialah mempunyai taraf kesihatan yang baik dan memuaskan.

Masalah timbul bila borang pemeriksaan kesihatan  JPJL8A tertera caj kesihatan maksimum ialah RM80.

"Banyak klinik yang terus meningkatkan caj dari RM20 atau RM40 sehingga ke RM80. Ini ialah tambahan beban kepada kami," ujar Hairi.

"Klinik-klinik menaikkan harga caj mereka berganda-ganda," tambahnya.

Hairi berkata pihak Gabungan bercadang untuk membuat pantauan dan akan berkongsi informasi bersama ahli untuk menyenaraikan klinik-klinik dengan harga yang berpatutan.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke juga sudah mengumumkan borang JPJL8A yang baharu tidak akan lagi menggunakan terma "caj maksimum RM80".

"Caj maksimum RM80 ialah apa yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan, bukan oleh JPJ," terang Anthony.

"Diharapkan penggunaan borang baharu boleh melenyapkan masalah ini dan juga mengurangkan tuduhan kepada JPJ," ujar Menteri itu empat hari sudah ketika sidang media berkaitan e-hailing.

 

 

Isu keputusan ujian kesihatan GDL

Keputusan ujian kesihatan adalah salah satu keperluan untuk mendapatkan lesen GDL.

"Sebelum ini, kami cuma perlu sertakan keputusan ujian kesihatan dan jika syarat-syarat lain lengkap, kami akan dapat menyambung lesen GDL," kata Hairi.

"Sekarang, jika keputusan pemeriksaan kesihatan menunjukan pemohon itu mempunyai masalah kesihatan seperti kencing manis, beliau tidak akan dapat lesen GDL."

"Pemohon akan disuruh berehat selama tiga bulan sebelum menjalani ujian kesihatan sekali lagi. Masalahnya, mata pencarian mereka akan terputus selama tiga bulan," sambung Hairi.

"Kementerian perlu fikir akan masalah ini," tambahnya.

Perubahan drastik ini kata Hairi memberikan tekanan kepada ramai ahli-ahli Gabungan.

"Kami faham keadaan pemandu perlu sihat tetapi selama ini, penyakit seperti kencing manis tidak menjadi masalah. Secara tiba-tiba, mereka dilarang dari mempunyai lesen GDL. Mereka perlu cari duit untuk keperluan keluarga," terang Hairi.

 

 

Isu mata demerit

Secara rasmi, Gabungan menyokong mata demerit atau penalti bila kesalahan atau kecuaian dilakukan oleh pemandu sendiri.

"Dalam aspek industri logistik Malaysia, berat muatan beban ditentukan oleh pihak pengurusan syarikat," Hairi berkata.

"Tugas pemandu ialah untuk memandu lori itu dari poin A ke poin B dengan selamat. Kami cuma tahu jenis beban yang dibawa, bukan beratnya."

"Wajarkah pemandu disaman bila lori kami lebih muatan? Jika pemandu tahu pun ia sudah lebih muatan, dan pemandu enggan membawanya, adakah majikan akan menyimpan mereka sebagai pekerja?"

"Bila pemandu kena saman kerana lebih muatan, mata demerit akan dimasukan ke rekod pemandu tersebut. Bila syarikat melihat pemandu ada banyak mata demerit, pemandu itu tidak akan diambil bekerja," Hairi merintih.

"Jadi, di mana keadilan untuk pihak pemandu lori di sini?"

 

 

Isu gaji pemandu lori

Ini ialah isu pangkal yang menjadi masalah kepada industri logistik negara, dan juga punca kenapa ada lori-lori dan bas-bas dipandu dengan laju.

"Gaji pokok pemandu lori ada yang bermula dari RM350 sebulan," Hairi menerangkan situasi itu.

"Selainnya adalah berdasarkan berapa trip yang dilakukan oleh pemandu itu, atau berapa kontena yang dialihkan oleh pemandu lori treler."

"Bila gaji mengikut trip, pemandu lori akan memastikan mereka mempunyai cukup trip untuk sebulan bagi menjana pendapatan yang mapan."

"Selagi struktur gaji masih mengikut trip, selagi itu pemandu lori Malaysia tidak akan dapat menurut standard rehat yang digunakan oleh negara-negara maju."

Hairi juga menerangkan bahawa pemandu-pemandu lori sebenarnya mahir dalam merancang perjalanan mereka agar mereka cukup rehat dan sampai di destinasi pada waktu yang sepatutnya.

"Mereka perlu mahir menyusun jadual kerana ia adalah pekerjaan mereka. Ini benar untuk mereka yang bekerja memandu lori barangan jarak jauh."

Namun begitu, untuk lori kontena dan lori pasir, berapa banyak trip yang dilakukan dalam sehari akan benar-benar memberi impak kepada pendapatan mereka.

"Ada yang mendapat gaji tinggi, sehingga RM10,000 sebulan atau lebih. Tetapi ramai yang tidak tahu bahawa kos diesel dan tol selalunya datang dari gaji pemandu itu juga."

"Kerosakan juga ada yang ditanggung bersama dengan syarikat," kata Hairi.

Hairi juga sedia maklum masalah gaji ini dari perspektif syarikat lori.

"Upah yang dikenakan untuk menyewa lori juga bukannya tinggi. Lori mengangkut batu contohnya, sewa caj yang dikenakan sangat rendah. Untuk syarikat lori membayar gaji dan mendapat keuntungan, mereka perlu membuat banyak trip," terangnya.

Masalah gaji mengikut jumlah trip ini sebenarnya adalah masalah lapuk yang tidak dapat diubah oleh pihak kerajaan kerana ia membabitkan perubahan besar kepada seluruh industri logistik.

Mungkin sudah tiba masanya pihak Kementerian Pengangkutan mengambil langkah berani dengan membuat kajian berkaitan gaji dan caj pengangkutan yang sepatutnya.

Penyeragaman harga caj berat mengikut perbatuan bagi pelbagai kategori lori pengangkutan sepatutnya diperbaharui dan digunakan agar industri logistik lebih profesional, terutama untuk syarikat-syarikat kecil yang rata-rata tidak mempunyai kawalan.

 

 

Isu parkir di R&R

Pihak Gabungan sangat berharap agar operator-operator lebuhraya memantau masalah di parkir-parkir lori di R&R.

"Kami bayar tol sekali ganda dari kenderaan lain, dan kami memang berterima kasih dengan kemudahan R&R yang bersih dan teratur," kata Hairi, disokong oleh rakan-rakan yang hadir.

"Namun begitu, mungkin pihak operator lebuhraya boleh membantu dengan memastikan tidak ada kenderaan lain di kawasan parkir kami."

"Kawasan yang ada sudah tidak begitu muat untuk lori, ditambah pula dengan kenderaan-kenderaan kecil yang memenuhi lot parkir kami."

"Bila ditegur, ada yang marah. Bila penuh dengan kenderaan kecil, kami terpaksa parkir di simpang keluar R&R dan kemudian kami akan disaman," keluh Hairi.

"Isu keselamatan di parkir-parkir R&R juga menjadi satu isu besar. Kami cadangkan dipasang kamera CCTV di kawasan parkir tersebut untuk mengurangkan kes samun barangan dari lori kami."

Mungkin operator lebuhraya seperti PLUS boleh duduk bersama pihak Gabungan bagi merapatkan hubungan dengan pelanggan dan juga mendengar masalah-masalah mereka.

 

 

Hairi berkata pihak Gabungan pemandu lori sentiasa mencari jalan untuk dapat berhubung dengan pihak Kementerian.

"Sudah tiga surat kami hantar ke Menteri Pengangkutan untuk meminta dibuat satu perjumpaan tetapi tidak ada satu pun yang mendapat respon," kata Hairi lagi.

Gabungan pemandu lori tidak mahu mengadakan mogok seperti yang diwar-warkan.

"Kami tidak akan lakukan mogok kerana kami tahu, semua industri dalam negara mampu lumpuh jika pemandu-pemandu lori melancarkan mogok."

"Tetapi jika tidak ada sesiapa yang mahu duduk berbincang dengan kami, kami tidak ada cara lain lagi," Hairi bersuara.

Seperti pemandu kereta dan penunggang motosikal, pemandu lori juga mempunyai keperluan dan masalah mereka yang tersendiri.

Tidak seperti pemilik lori yang mempunyai persatuan-persatuan yang besar dan mampu melobi pihak kerajaan, pemandu-pemandu lori tidak ada persatuan sekuat itu.

Sebagai wakil kepada rakyat, Careta merasakan Anthony Loke patut memberikan peluang kepada mereka ini untuk menyuarakan pandangan dan pendapat mereka.

 

Add new comment

Careta Ad

Berita Berkenaan

Berita Domestik
Menurut wakil dari Gabungan Persatuan Pemandu Pengangkutan Darat Malaysia atau United Malaysian…