Menteri Kerja Raya Sabah - Kualiti kerja rendah punca jalan rosak semula

oleh Penyumbang Rencana|
gambar dari portal I love Borneo
Kualiti kerja kontraktor daripada pihak ketiga yang rendah dipercayai punca laluan di Jalan Gum-Gum, Sandakan, rosak walaupun jalan raya itu telah ditambah baik sebelum ini.

Menteri Kerja Raya Sabah, Datuk Ir Shahelmey Yahya berkata, perkara yang ditularkan di media sosial mengenai jalan rosak itu telah diambil maklum oleh pihak Jabatan Kerja Raya (JKR).
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

"Sebenarnya, jalan tersebut sebelum ini telah melalui kerja pelebaran, namun dilakukan oleh pihak ketiga.

"Bukan disebabkan guna bahan tidak berkualiti, tetapi kemungkinan kualiti kerja yang rendah semasa buat kerja pelebaran itu dilakukan," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Khamis.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas isu jalan raya di Sandakan mengalami kerosakan dan tular di media sosial baru-baru ini.

Shahelmey yang juga Timbalan Ketua Menteri turut menambah, pihak JKR daerah sepatutnya telah memeriksa dan memantau kerja yang telah dilakukan sebelum itu dengan lebih teliti.

"Kerja yang rosak tersebut bukan dibuat oleh kontraktor kerja penyelenggaraan (konsesi) tetapi oleh kontraktor lain yang telah dilantik.

"Jadi perkara tersebut telah diambil maklum oleh pihak JKR dan JKR telah mengarahkan pihak konsesi jalan untuk melakukan kerja pembaikan pada tahun ini juga," tegasnya.

Sinar Harian pada Khamis melaporkan jalan berkenaan kembali rosak selepas kira-kira tiga minggu Kembara Kenali Borneo oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Billah Shah melalui jalan tersebut.

Sebahagian jalan raya kini kembali seperti 'jalan ke bulan' apabila beberapa gambar keadaan jalan raya rosak dikongsikan pengguna di media sosial.