Mentaliti pengguna jalan raya Malaysia masih kelas ketiga

oleh SALINA JALIL|
Penduduk bergotong royong mengutip sampah - gambar Roselan Ab Malek
"Sakit mata memandang melihat sampah-sarap bertaburan di atas dan di tepi Lebuhraya (CSR) Merapoh ke Gua Musang berhampiran Kampung Padang Tengku, Lipis, kerana ia akan berlaku setiap cuti perayaan dan cuti sekolah."


Begitu kata Aminuddin Mohd Hashim, 41, berhubung sikap dan mentaliti kelas ketiga pengguna jalan raya apabila membuang sampah dari kenderaan sesuka hati ketika melalui jalan berkenaan.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

 

Aminuddin berkata, dia bersama kira-kira 10 individu mengambil inisiatif mengutip sampah-sarap yang bertaburan itu berhampiran Kampung Padang Tengku, di sini, semalam.

 

Katanya, mereka terpanggil untuk melakukan khidmat masyarakat itu selepas mendapati kawasan berkenaan terlalu kotor dan berbau busuk.

 

"Aktiviti (mengutip sampah) ini tidak dirancang dengan teliti, saya sekadar ajak kawan-kawan terdekat sahaja selepas bersarapan di sebuah warung, pagi tadi.

 

"Dalam masa dua jam, kami berjaya mengutip 20 beg plastik hitam besar, macam-macam kami jumpa, yang paling banyak sisa bekas makanan, plastik, tin minuman dan lampin pakai buang," katanya.

 

Katanya, dia kini merancang mengadakan program amal itu secara bulanan pada setiap hujung bulan disebabkan jumlah sampah lebih banyak.

 

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Padang Tengku, Datuk Mustafa Long berkata, beliau memuji sikap anak muda Padang Tengku apabila sanggup mengutip sampah secara sukarela.

 

Menurutnya, isu sampah itu sudah berlarutan sejak sekian lama terutama setiap kali musim perayaan khususnya cuti panjang di mana Jalan Padang Tengku ke Gua Musang, Kelantan akan penuh dengan kenderaan.

 

"Pengguna sepatutnya bersyukur kerana kerajaan menyediakan jalan raya yang lebih selesa dan sewajarnya ia dijaga terutama dari segi kebersihan.

 

"Agama Islam pun mengutamakan soal kebersihan dan sampah dibuang ke tempat sepatutnya," katanya.

 

 

 

Harian Metro