Melaka perkenal Bas Singgah-Singgah

oleh SALINA JALIL|
Kerajaan negeri menerusi syarikat pengendali perkhidmatan bas Panorama Melaka Sdn Bhd (Panorama) akan menjalin usaha sama dengan syarikat swasta di ibu negara untuk memperkenalkan bas bercirikan pelancongan yang dinamakan Bas Singgah-Singgah.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

 

EXCO Kerja Raya, Pengangkutan, Kemudahan Awam dan Infrastruktur negeri, Datuk Roslan Ahmad, berkata perkara itu bakal dimuktamadkan selepas syarikat pengangkutan awam negeri itu menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bersama syarikat swasta berkenaan, minggu depan.

 

Katanya, beliau sudah mengadakan perbincangan awal bersama EXCO Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan negeri, Datuk Muhammad Jailani Khamis mengenai usaha mewujudkan Bas Singgah-Singgah itu.

 

"Bas ini akan dilancarkan awal tahun hadapan dan MoU berkenaan pula diadakan akan diadakan di Langkawi minggu depan.

 

"Bas berkenaan kelak akan menggunakan sistem elektrik sepenuhnya dengan kemudahan jalur lebar (WiFi) serta bercirikan santai," katanya selepas sesi penangguhan Persidangan Ketiga (Bajet) Penggal Kedua, DUN Melaka Yang Ke-14 di Seri Negeri, di sini semalam.

 

Mengulas lanjut, Roslan berkata, berdasarkan perancangan awal, bas terbabit akan melalui beberapa pusat hentian (pitstop) di sekitar kawasan hab pelancongan di bandar Melaka.

 

Katanya, bagi peringkat permulaan, sebanyak tiga bas disediakan dengan dilengkapi dengan dua komponen, iaitu ruang berhawa dingin dan ciri terbuka di dinding yang terletak di bahagian belakang bas.

 

"Bas itu akan bermula di Melaka Sentral dan melalui 14 hentian termasuk Zoo Melaka dan beberapa tapak warisan dunia Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNESCO) sehingga ke Klebang.

 

"Ia akan menggunakan kad prabayar yang boleh ditambah nilai di semua pusat hentian.

 

"Kita akan mulakan dengan tiga unit bas terlebih, sekiranya perkhidmatan itu diterima baik, kita akan tambah mengikut keperluan," katanya.

 

 

 

laporan dari Berita Harian