Mekanik Singapura guna teknologi maya untuk belajar baiki EV

oleh Mohamad Hanif|
Singapura merupakan antara negara di Asia Tenggara yang kini berada di depan dalam usaha untuk menggalakkan penggunaan kenderaan elektrik bagi menggantikan kereta-kereta berenjin konvensional.

Selain daripada terus memperkenalkan insentif bagi merapatkan jurang harga antara EV dan kereta ICE dan mengkaji struktur cukai jalan, kerajaan Singapura juga kini menumpukan usaha untuk melatih tenaga pakar terutama di dalam bidang berkaitan keselamatan dan penyelenggaraan EV.

Namun, usaha yang diperkenalkan itu tidak akan berjaya sekiranya orang yang berada di lapangan itu sendiri tidak mengambil inisiatif untuk meningkatkan kemahiran.

Seperti contoh, Muhammad Isa Ali (31 tahun) merupakan salah seorang pekerja pertama di Tower Transit Singapura yang kini dipertanggungjawabkan untuk memeriksa bas elektrik.

Beliau yang mula bekerja sebagai juruteknik kenderaan pada tahun 2016 itu mengakui hanya mempunyai diploma di dalam bidang kejuruteraan marin yang langsung tiada kaitan dengan tugasnya.

Berminat untuk meningkatkan kemahiran diri, Isa menggunakan satu cara yang agak luar biasa - menggunakan permainan video 'Car Mechanic Simulator'.

Disebabkan sifatnya yang sukakan belajar benda baharu, syarikatnya sebelum ini turut menawarkan tajaan melanjutkan pelajaran secara sambilan di dalam Diploma Kejuruteraan (Operasi dan Teknologi Kenderaan) di Politeknik Republik.

Berhubung dengan inisiatif latihan berkaitan kenderaan elektrik (EV) yang dijalankan oleh Land Transport Authority (LTA) baru-baru ini, Isa berpendapat lebih ramai juruteknik mampu mendapat peluang untuk meningkatkan kemahiran mereka.

Badan berkuasa itu baru-baru ini menandatangani MoU dengan Institut Pendidikan Teknikal untuk menetapkan ITE College West sebagai pusat penilaian satelit kedua Akademi Bas Singapura sebagai pelengkap kepada pusat pertama di Politeknik Republik.

"Dengan adanya pusat penilaian kedua, ia membuka lebih peluang kepada juruteknik bas untuk mendapatkan latihan. Kami mempunyai beberapa buah depot bas di Singapura, dan tidak semua juruteknik mampu menghadiri kelas di dalam satu lokasi tunggal," jelas Isa lagi.
 

EV


Selain Isa, seorang lagi juruteknik yang bakal mendapat manfaat daripada inisiatif LTA adalah James Rayappan selaku pegawai teknikal automotif di Strides Mobility.

Beliau yang juga seorang peminat EV memberitahu CNA, "EV adalah sangat berlainan. Dulu kami bekerja dengan kereta petrol dan diesel, tapi dengan EV ia adalah berlainan sama sekali disebabkan ia tiada enjin, elektrik sepenuhnya. Jadi saya amat kagum kerana tangan saya tidak mudah kotor. EV amat senang dan mudah untuk dijaga."

Jelasnya, berbanding enjin tradisional, tidak terlalu banyak langkah untuk mengenal pasti masalah yang berlaku di dalam EV.

"Sekarang saya mahu pelajari sesuatu (baharu) untuk diri saya sendiri. Jika, katakan saya tidak tahu sesuatu berkenaan EV, saya akan buka YouTube untuk mempelajari cara menangani masalah, apakah punca masalah tersebut dan sebagainya.

Apabila beliau mendengar Strides mahu menaiktaraf armada teksinya kepada EV, minatnya terus terpaut.

"Saya mahu meningkatkan kemahiran diri. Ia bukan lagi dunia yang lama, dunia mahukan perubahan daripada gasolin kepada EV. Jadi saya juga mahu berubah.

Ketika ditanya kepada beliau tidak takut untuk menyahut cabaran baru untuk meningkatkan kemahiran, Rayappan menjelaskan ini semua adalah berkenaan sifat mahu mencuba.

"Pertama sekali, jika kita tidak melakukan kesilapan, kita tidak akan belajar. Kita perlu melakukan kesilapan supaya baru boleh betulkan. Jika saya takut, saya tidak akan duduk di depan anda (untuk ditemubual).

Untuk tempoh 20 hingga 30 tahun akan datang, Isa berpendapat akan wujud permintaan terhadap juruteknik IT.

"Singapura kini sedang meneliti kenderaan berautonomi. Kenderaan sebegini memerlukan jurutera mekanikal untuk perkara berkaitan mekanikal. Anda perlukan juruteknik elektrik untuk mengendalikan pendawaian bervoltan tinggi dan sebagainya.

"Anda perlukan seorang lagi jurutera, iaitu jurutera IT. Mereka inilah yang akan menjaga segala penderia yang ada pada kenderaan autonomi.

Isa merancang untuk melanjutkan pengajian di dalam kejuruteraan IT atau mekanikal dalam masa dua tahun akan datang.

"Antara cabaran bagi generasi yang tua adalah kesukaran untuk menyerap benda baharu. Malah ada dikalangan kawan-kawan saya yang lebih tua, mereka keberatan untuk berubah.

Baginya, jika mereka menjalani latihan dan mendapat ilmu baharu, mereka mampu menjadikan diri sendiri lebih bernilai dan kekal relevan di dalam industri.

"Sekiranya anda tidak menaiktaraf diri sendiri, sesetengah pihak, mungkin lebih tua daripada anda akan mengambil alih tempat anda, dan ini adalah salah satu faktor motivasi saya sendiri.

Sumber: CNA

Berita Berkenaan

Berita Domestik
  Lebih menarik, mereka hanya perlu mengeluarkan kos sekitar RM5,000 untuk menikmati ‘kemewahan’…
Berita Global
Go, yang dimiliki oleh penyedia saluran gas bandar tunggal Singapura, City Energy, hari ini telah…
Berita Domestik
Kali ini, mereka dilapor cuba untuk menggunakan fasiliti pengecasan EV yang terletak di Shell…