Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 11.54 malam.
Katanya, anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bayan Baru yang diketuai Hemrizal Che Morad ke tempat kejadian sejurus menerima panggilan.
"Difahamkan ketika kejadian, mangsa sedang membaiki sebuah kereta jenis Proton Saga dan tiba-tiba kereta terbabit menghempap separuh dari badan mangsa.
"Anggota bomba menggunakan peralatan khas bagi mengeluarkan mangsa yang tersepit di bawah kenderaan berkenaan," katanya di sini, hari ini.
Jurucakap berkata, mangsa kemudian disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan sebelum kes diserahkan kepada polis bagi tindakan lanjut.
"Identiti mangsa tidak dapat diperoleh dan mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya.
"Mayat mangsa dibawa ke Hospital Pulau Pinang (HPP) dan operasi tamat pada 1.05 pagi," katanya.