Medibike - usaha murni anak jati Kuantan tawar bantuan kecemasan awal

oleh Mohamad Hanif|
PERODUA MREC Banner Campaign February 2024
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01

Baru berusia 19 tahun, namun jiwa Muhammad Taufiq Nordin yang berasal dari Kuantan, Pahang ini nampaknya mengalahkan jiwa penulis pada umur yang serupa. 

Anak jati Tanjung Lumpur yang kini sedang menuntut ilmu di dalam kursus perubatan giat aktif membantu mangsa-mangsa kemalangan dengan memberikan bantuan rawatan awal sementara menunggu ambulans tiba, di bawah naungan Badan Sukarelawan Jabatan Amal.  

Namun, dek kerana kekurangan peralatan yang dibekalkan pada ketika itu dan masa menunggu yang agak lama bagi menantikan ketibaan ambulans, terdetik di dalam hati Taufiq untuk menubuhkan Medibike. 
 

ketika membantu mangsa kemalangan


Medibike bukanlah menggantikan tugas ambulans/pasukan penyelamat secara total, menurut Taufiq bantuan awal yang diberikan membolehkan beliau mengurangkan kadar risiko kecederaan yang serius di kalangan mangsa. 

Menggunakan motosikal Yamaha FZ-150i sebagai mod pengangkutan utama, Taufiq melakukan sedikit ubahsuai bagi memuatkan kelengkapan perubatan seperti cervical collar, set cucian luka, peralatan pemeriksaan, tangki oksigen serta kelengkapan yang dirasakan sesuai. 

Dengan adanya kelengkapan tersebut dan keupayaan motosikal untuk mencelah di dalam kesesakan trafik, Taufiq mampu memberikan rawatan awal kepada mangsa kemalangan sebelum menyerahkan pesakit kepada pakar. 
 

setiap anggota diwajibkan jalani kursus asas menyelamat dan pertolongan cemas

Menurut Taufiq, di bawah Medibike kini mempunyai bilangan anggota seramai tiga orang di Kuantan sahaja buat masa ini, namun bilangan pengangkutan hanya terhad kepada sebuah motosikal sahaja. 

Ketika sedang ditemubual, Medibike sedang merancang untuk menambah lagi bilangan aset bagi memudahkan urusan menyelamat dilakukan di seluruh Kuantan. 

Setiap ahli Medibike atau sukarelawan baharu yang ingin menyertai akan diwajibkan untuk menjalani kursus asas pertolongan cemas, bantuan pernafasan CPR dan tahu untuk menguruskan kes-kes trauma sebelum dibenarkan untuk bertugas membantu pihak ambulans. 

Ini kerana setiap kes trauma yang dicatatkan adalah tidak sama bagi setiap orang dan pengalaman yang luas amatlah diperlukan dalam mengendalikan pesakit-pesakit supaya tidak mendatangkan mudarat yang lebih besar. 
 

Taufiq bersama jentera Medibike


"Kami masih mencari sumbangan dan dana untuk menampung kos pembelian peralatan yang agak mahal setiap bulan, selain menambah kemudahan yang ada untuk dilengkapkan pada Medibike," tambah beliau. 

Menerusi Medibike, Taufiq berhasrat untuk memperkembangkan lagi cawangan penyelamat mobil ini untuk setiap daerah di Pahang, selain membuka cawangan baharu di setiap negeri terutama di Kuala Lumpur. 

Bagi mereka yang ingin menyertai Medibike, Taufiq mengingatkan anda supaya melengkapkan diri dengan kekuatan fizikal dan mental yang cukup tinggi kerana tugas-tugas menyelamat bukanlah tugasan yang mudah selain menjadi antara yang terawal untuk tiba di tempat berlakunya sesuatu kemalangan.

Semoga usaha murni ini diberkati oleh Tuhan, dan kami di Careta mendoakan agar dipermudahkan segala urusan, terutama ketika berada di lapangan kerja yang tidak menentu. 

 

 


Kemaskini: Difahamkan ketika ini Medibike mengalami kemalangan pada 26 Januari yang lalu dan segala operasi menyelamat terpaksa dihentikan seketika bagi membaiki motosikal yang rosak. 

Kami menghubungi semula Taufiq awal minggu lalu untuk bertanyakan khabar dan beliau kini kembali bersemangat untuk meneruskan tugas murni ini. 

Bagi mereka yang ingin menyumbangkan dana kepada pasukan Medibike, anda boleh menghubungi Muhammad Taufiq di talian +6013-5862016 atau terus ke akaun yang tertera di bawah: 

Muhammad Taufiq bin Nordin - 7624427437 (CIMB)

Taufiq mengemaskini setiap aktiviti menyelamat yang dilakukan oleh Medibike dan anda boleh membacanya menerusi laman Facebook Medibike EMFRT