McMurtry Spéirling - Jangan terpedaya dengan saiz, 0-60 bsj bawah 1.5 saat!

oleh Muhammad Md Tajudin|
McMurtry Spéirling
McMurtry Spéirling
Pada tahun 2016, sekumpulan bekas jurutera Formula 1 telah ditugaskan oleh seorang usahawan berjaya Britain, Sir David McMurty untuk merekabentuk dan menghasilkan kereta berprestasi tinggi terhebat.

Dipendekkan cerita yang panjang, kereta itu telah siap dan diberi nama McMurtry Spéirling dan pertama kali dipertontonkan kepada umum pada acara Goodwood 2021 di United Kingdom.

12 bulan kemudian dan selepas pelbagai ujian ekstensif bersama bekas pelumba Formula 1, Max Chilton, kereta ini kembali ke Goodwood 2022.

Kali ini bukan jadi bahan pameran tetapi berlumba dengan sasaran untuk mencabar rekod sedia ada.

Secara asasnya, McMurtry Spéirling adalah sebuah fan car dengan kipas berkembar mengalirkan udara keluar dari bawah kereta.

Kereta sebegini bukan baharu, kali terakhir sebuah fan car bersaing dalam perlumbaan apabila Niki Lauda menang F1 Sweden pada tahun 1978 dengan kereta Brabham BT46B yang mempunyai kipas di belakang.
McMurtry Spéirling

 

Karakter unik Spéirling terletak pada kipas yang menjana daya mendap (down force) lebih sekali ganda daripada berat kereta ini sendiri.

Daya mendap Spéirling boleh dihasilkan setiap masa dan berbeza dengan kereta konvensional yang bergantung kepada aliran udara semasa kereta bergerak.

Angka yang dihasilkan luar biasa, sebagai contoh janaan daya mendap lebih tinggi berbanding kereta Formula 1 pada kelajuan sehingga 241 km/j dan dengan daya seretan yang jauh lebih rendah.

Keupayaan daya mendap yang segera juga membolehkan daya kilas (torque) dilepaskan serta merta dan hasilnya pecutan 0-60 bsj (97 km/j) dicapai di bawah 1.5 saat!

Kelajuan maksimum ialah 241 km/j dan terhad susulan penggunaan kotak gear pendakian (hillclimb). Laluan perlumbaan di Goodwood adalah jenis mendaki.

Dengan itu pasukan McMurty yakin untuk mencatatkan rekod baharu yang sekarang ini dipegang oleh Volkswagen ID.R.

 

McMurtry Spéirling

 

Selain Max Chilton, kereta ini akan dipandu oleh Alex Summers yang merupakan jagoan perlumbaan pendakian Britain.

Menggerakkan kereta ini adalah motor elektrik dan tidak menghairankan kenapa prestasinya luar biasa.

Pakej kuasa terdiri daripada pek bateri 60 kWh yang direka dan dihasilkan oleh McMurtry Automotive menggunakan sel bateri canggih dari syarikat Molicel.

McMurty belum berkongsi perincian namun jarak gerak di litar lebih 30 minit.

Selain maklumat di atas, berikut adalah ciri-ciri McMurtry Spéirling:

  • Daya mendap tinggi, lebih 2000 kilogram pada setiap kelajuan
  • Dua motor elektrik, pacuan roda belakang
  • Berat bawah 1000 kilogram
  • Monocoque gentian karbon, satu tempat duduk, kokpit tertutup
  • Suspensi dengan ketinggian aktif
  • Brek seramik karbon saiz 390mm x 34mm, angkup enam omboh

 

McMurtry Spéirling

 

Penulis: Muhammad Md Tajudin