“Pemantauan sentiasa dijalankan melibatkan kerjasama dengan agensi berkaitan seperti Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bagi membendung aktiviti penjualan alat ganti ini.
“Sekiranya terdapat mana-mana pelanggaran dari aspek perundangan yang dikesan, kita akan meminta penyedia platform untuk menurunkan iklan tersebut,” katanya kepada Sinar Harian baru-baru ini.
Beliau berkata, tindakan tegas termasuk sekatan terhadap mana-mana laman sesawang yang didapati menjual alat ganti yang tidak dibenarkan ini.
Katanya, pemantauan sememangnya dilaksanakan dari semasa ke semasa dan dalam soal ini pihaknya tidak berkompromi dengan mana-mana kegiatan yang menyalahi undang-undang.
“Apa yang menjadi kesalahan di dunia realiti, ia terpakai sama menerusi alam maya, itu tindakan yang kita sentiasa laksanakan,” ujarnya.