McLaren GT - Grand Tourer yang sangat praktikal, harga dari RM880k di UK

oleh Mohamad Hanif|
PERODUA MREC Banner Campaign February 2024
HONDA CR-V MREC Banner Campaign March 2024

McLaren baharu sahaja menyambut unit penghasilan supercar yang ke-20 ribu minggu lalu dan kini hadir dengan sebuah model baharu di dalam kelas Grand Tourer (GT), iaitu McLaren GT yang merupakan model keempat di dalam pelan perniagaan Track25 mereka. 

Sebagai sebuah Grand Tourer, McLaren GT menggabungkan prestasi yang tidak terkalahkan dengan kemampuan untuk merentas benua, dibawah satu pakej yang serba cantik dan menepati citarasa supercar McLaren. 

Tidak seperti adik beradiknya yang memfokuskan kepada prestasi di litar dan badan yang agresif, McLaren GT mempunyai dimensi yang lebih panjang, iaitu sekitar 4.7 meter.
 


Ia turut dibantu dengan penampilan garisan badan yang sangat panjang dan elegan sebagai ekspresi supercar yang dikhaskan untuk kegunaan perjalanan jarak jauh. 

Dengan jarak overhang yang sedikit panjang, sudut approach 10 darjah serta jarak kelegaan tanah 110 mm (130 mm dengan kit angkat), ia memberikan pemanduan yang lebih menyenangkan di dalam trafik urban. 

Casis monocoque MonoCell II-T yang digunakan memberikan kelebihan daripada segi penawaran ruang kargo, dimana McLaren GT mampu memberikan ruang sebesar 419 liter di bahagian belakang, dan tambahan 150 liter di ruang hadapan. 

Ini bermakna, anda mampu memuatkan sehingga 570 liter barangan pada McLaren GT!
 


Memasuki ruang dalaman, McLaren GT menampilkan kemasan yang serba mewah, dimulakan dengan trim kulit Nappa (pilihan Alcantara  atau Cashmere jika mahu), sistem audio Bowers & Wilkins, 12 pembesar suara, sub-bass woofer gentian karbon dan unit pemacu julat pertengahan dari Kevlar. 

Sistem navigasi didatangkan daripada penyedia HERE yang memaparkan informasi trafik dalam masa nyata, selain sistem radio digital DAB dan paparan sebesar 12.3 inci TFT. 
 


Memacu kuasa Grand Tourer dari McLaren ini ialah enjin baharu 4.0 liter bentangan V8 turbo berkembar yang menghasilkan 612 hp dan 630 Nm daya kilas. 

Kuasa tersebut disalurkan kepada roda menerusi transmisi SSG tujuh nisbah kelajuan, dan pecutan sepantas 3.1 saat dari 0-100 km/j. 

Kelajuan tertinggi? 326 km per jam sahaja. 
 


Membantu pengedaran kuasa ke atas jalan ialah penggunaan tayar Pirelli P ZERO yang membaluti rim aloi sebesar 20 inci hadapan dan 21 inci di belakang - rim terbesar pernah McLaren lengkapkan untuk supercarnya.

Harga jualan McLaren GT di UK pula bermula dari £163,000 (RM879,996) termasuk cukai yang berkaitan, dan anda akan mendapat sebuah supercar yang sangat praktikal untuk kegunaan seharian. 

570 liter itu sangat cukup untuk kegunaan dua orang dewasa yang kaya raya. Tak begitu?

Berita Berkenaan

Berita Global
Jika sebelum ini Volvo P1800 Cyan itu lebih berorientasikan litar lumba, kali ini Cyan Racing mahu…
Pelancaran Motosikal
Dengan pelancaran model 1250 TR-G ini, ia mampu memberikan saingan kepada model seperti BMW 1250 RT…
Berita Global
Grand tourer (GT) terbaharu ini menggandingkan nadi bentangan V8 4.0 liter turbo berkembar berkuasa…