Walaupun McLaren ini kuat DNA British tetapi ia juga dimiliki oleh firma asing.
Syarikat ini adalah subsidiari di bawah McLaren Group yang mana pegangan majoriti dimiliki oleh Mumtalakat Holding Company yang merupakan syarikat pelaburan kerajaan Bahrain.
Tidak kira siapa pemiliknya atau prestasi yang kurang memberangsangkan dalam F1, McLaren kini sedang melalui zaman gemilang.
Untuk menjamin masa depan yang terus cemerlang, McLaren baru-baru ini sempena Goodwood Festival of Speed telah melancarkan pelan Track25. Pelan itu adalah evolusi kepada pelan Track22 yang dilancarkan pada 2016.
Apakah yang ada dalam pelan ini?
McLaren mahu melancarkan 18 model baharu dan sampingan menjelang 2025. Untuk sebuah pengeluar yang berada dalam segmen kecil, jumlah ini adalah suatu besar setara jika dibandingkan dengan pengeluar massa.
Ini juga cita-cita besar apabila purata pengeluaran kenderaan McLaren adalah sebanyak 6,000 setahun. Pelaburan itu dijangka dapat menaikkan lagi jumlah produksi sehingga 75 peratus.
Pasaran manakah yang mampu menyumbang jumlah jualan yang tinggi itu? China?
Selain sasaran produksi tersebut, di bawah ialah di antara perancangan masa depan McLaren:
- Komited mahu menghasilkan barisan model kereta sport dan super dengan nadi kuasa hibrid dalam tempoh tujuh tahun
- Mahu menilai dan membangunkan teknologi bateri pengecasan pantas dengan jarak penggunaan selama 30 minit di litar lumba
- Melabur dalam bidang material ringan dan McLaren Composites Technology Centre (MCTC). McLaren sangat mementingkan material yang ringan dalam pembuatan kereta
- Selepas melancarkan model McLaren P1TM yang merupakan kereta hiper petrol-elektrik hibrid pertama di dunia lima tahun lalu, McLaren bakal melancarkan model gantian selepas ini
- Selain menghasilkan kereta berprestasi, McLaren juga akan memperkenalkan teknologi seperti perlindungan siber, pengesanan kenderaan dan kemaskini perisian secara langsung (over-the-air)
Kenderaan McLaren sekarang ini ditawarkan di 31 buah pasaran serata dunia melalui 86 rangkaian pengedar.
Sesuai dengan sasaran tinggi Track25, McLaren mahu mengembangkan lagi pasaran dan sedang menilai beberapa pasaran utama seperti Rusia, India dan Eropah Timur/Tengah sehingga 100 buah pengedar.
McLaren Automotive sekarang ini mempunya sekitar 2,300 pekerja global dan mempunyai pejabat rasmi di UK, Amerika Syarikat, Bahrain, China, Singapura, Jepun dan Sepanyol.
Hello Ferrari dan Lamborghini! Apa khabar Lotus?
Penulis: Muhammad Md Tajudin