McLaren Artura 2022 - supercar hibrid 671 hp tanpa kehadiran gear undur!

oleh Mohamad Hanif|
Kira-kira sembilan tahun yang lalu, McLaren telah memperkenalkan sebuah hypercar hibrid P1, dengan angka output 727 kuasa kuda dan pecutan 0-100 km/j dalam masa 2.8 saat, ia bukanlah hypercar untuk semua orang disebabkan harganya yang terlalu mahal.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Kini, McLaren membawakan sebuah model baharu dengan harga yang lebih masuk akal, dan paling penting ia didatangkan dengan trenkuasa hibrid - McLaren Artura 2022.

McLaren Artura 2022 menampilkan enjin bentangan V6 3.0 liter dengan induksi paksaan turbo berkembar yang menghasilkan 577 kuasa kuda dan 584 Nm daya kilas.

 


Sementara bantuan motor elektrik E-Motor pula diposisikan di dalam perumah 'bell housing' di dalam transmisi yang mampu menambah 94 kuasa kuda dan 225 Nm, sekaligus menjadikan angka output keseluruhan kepada 671 kuasa kuda dan 804 Nm!

Ini membolehkan Artura 2022 memecut dari pegun ke 100 km/j dalam masa 3.0 saat (0.2 saat perlahan berbanding P1) dengan kelajuan tertinggi dihadkan kepada 330 km/j.

Sistem transmisi pula adalah jenis klac berkembar baharu dengan lapan nisbah kelajuan, dan seperti model pesaing Ferrari SF90 Stradale, Artura 2022 tidak memiliki nisbah gear undur.

 


Sebaliknya, anda hanya memerlukan tenaga elektrik untuk mengundurkan supercar hibrid ini.

Motor elektrik tersebut memperoleh sumber kuasa daripada pek bateri lithium ion berkapasiti 7.4 kWh, membenarkan jarak operasi tanpa setitik bahan api sejauh 31 km pada kelajuan maksimum 130 km/j, cukup untuk anda berulang-alik ke masjid tanpa menghasilkan bunyi bising.

Dengan menggunakan pengecas standard EVSE, pemilik boleh memenuhkan kembali kapasiti bateri dari sifar ke 80 peratus dalam masa dua jam setengah.

 


Dengan kehadiran trenkuasa hibrid dan pek bateri, ia sudah pasti memberikan kesan kepada berat keseluruhan jentera ini, jika McLaren menggunakan platform yang lama.

Oleh sebab itu, untuk memastikan berat berada dalam tahap yang diingini, McLaren menggunakan platform baharu yang digelar sebagai McLaren Carbon Lighweight Architecture (MCLA) yang mengeksploitasi bahan ringan seperti aluminium dan gentian karbon.

Selain daripada itu, berat keseluruhan enjin kini sekitar 160 kg, jauh lebih ringan berbanding enjin V8 sebelum ini, disebabkan blok enjin, kepala dan omboh yang diperbuat daripada bahan aluminium, sementara unit pengecas turbo pula menggunakan teknologi ball-bearing bagi mengurangkan kadar geseran.

Motor elektrik jenis axial flux pula memiliki  berat sekitar 15 kg manakala pek bateri pula sekitar 88 kg sahaja.

 


Secara keseluruhan, McLaren Artura 2022 mempunyai berat sekitar 1,498 kg, berat sedikit berbanding sebuah Proton Persona sedan.

Penggunaan senibina MCLA ini juga membolehkan McLaren memasukkan beberapa ciri keselamatan aktif seperti kawalan jelajah adaptif, amaran keluar laluan, bantuan suluhan tinggi, dan sistem pengecaman papan tanda trafik.

McLaren Artura juga merupakan model pertama yang dilengkapi dengan sistem infotainmen McLaren Infotainment System (MIS II) lengkap dengan skrin sentuh berdefinisi tinggi, Apple CarPlay, Android Auto, serta perisian telemetri khusus untuk kegunaan litar yang mempunyai fungsi Variable Drift Control.

 


Selain daripada itu, ciri lain yang dimuatkan termasuklah tempat duduk boleh dilaras dengan ciri pemanas, atau ciri opsyen tempat duduk Clubsport yang menampilkan tempat duduk jenis bucket yang boleh dilaras.  

Dari segi aerodinamik, jurutera McLaren berusaha untuk memastikan setiap aliran udara mempunyai fungsi yang tersendiri tanpa menjejaskan keberkesanan ketika pemanduan berkelajuan tinggi.

Liang udara pada arca roda hadapan direka untuk mengurangkan tekanan udara di dalam bahagian tersebut, selain 'membuang' udara kotor daripada memasuki liang udara sisi.

Cermin sisi McLaren Artura ini juga sebenarnya banyak membantu dalam mengalirkan udara yang dikehendaki masuk ke liang udara sisi jentera ini.

 


Harga jualan McLaren Artura 2022 bermula dari $225,000 (RM910,125), dan versi asas ini hadir dengan ciri-ciri menarik seperti tempat duduk berkuasa, fungsi mirroring peranti pintar, nose lift, cermin sisi boleh lipat dengan ciri pemanas, ciri tutupan pintu lembut.

Terdapat tiga trim tambahan yang boleh didapatkan iaitu Performance, TechLux dan Vision.

Berita Berkenaan

Berita Global
Tinggal beberapa minggu sahaja lagi sebelum tahun 2022 melabuhkan tirai, namun McLaren masih belum…
Pelancaran
McLaren Artura merupakan model pertama yang dibina atas pelantar McLaren Carbon Lightweight…