McLaren Artura merupakan model pertama yang dibina atas pelantar McLaren Carbon Lightweight Architecture (MCLA), selain menjadi model pertama produksi bersiri untuk kategori High Performance Hybrid (HPH).
Platform MCLA ini mengutamakan penggunaan bahan-bahan yang ringan seperti aluminium dan gentian karbon, dan dengan unit enjin V6 yang lebih ringan, berat keseluruhan Artura adalah sekitar 1,498 kg sahaja.
McLaren Artura didatangkan dengan enjin 3.0 liter bentangan V6 turbo berkembar yang mampu menghasilkan kuasa 577 hp dan 584 Nm, dipadankan dengan motor elektrik (94 hp/225 Nm), menjadikan kuasa keseluruhan sebanyak 671 hp dan daya kilas 720 Nm.
Ini membolehkan Artura memecut sepantas 3.0 saat dari pegun ke 100 km/j, 8.3 saat 0-200 km/j dan 21.5 saat untuk pecutan 0-300 km/j!
Penggunaan trenkuasa hibrid ini juga menjadikan McLaren Artura model McLaren yang paling cekap pernah dihasilkan, dengan kadar penggunaan bahan api serendah 4.7 liter/100 km.
Pek bateri berkapasiti 7.4 kWh pula membolehkan McLaren Artura ini bergerak tanpa menggunakan setitik petrol sejauh kira-kira 30 km.
Sistem transmisi pula adalah jenis klac berkembar dengan lapan nisbah kelajuan, dimana ia tidak lagi menampilkan nisbah gear undur, sebaliknya menggunakan pacuan tenaga elektrik sahaja.
Harga jualan untuk sebuah unit McLaren Artura bermula dari RM1,050,000 tidak termasuk dengan cukai, opsyen dan pakej penyesuaian yang ditawarkan secara meluas.