McLaren Artura 1000GP Diperkenalkan, Terhad 10 Unit Sempena GP F1 Ke-1,000

oleh Qalif Latif|
McLaren memperkenalkan edisi khas Artura 1000GP bagi meraikan penyertaan pasukan itu dalam perlumbaan Formula 1 Grand Prix yang ke-1,000, menjadikannya pasukan kedua dalam sejarah F1 mencapai pencapaian tersebut selepas Ferrari.

Model istimewa ini dibangunkan oleh bahagian McLaren Special Operations (MSO) dan hanya akan dihasilkan sebanyak 10 unit untuk pelanggan terpilih di seluruh dunia.

McLaren Artura 1000GP

 

Lebih Enam Dekad Sejarah Dalam Formula 1

Nama McLaren sememangnya sinonim dengan dunia perlumbaan. Diasaskan oleh Bruce McLaren pada tahun 1960-an, pasukan itu mencipta kejayaan dalam pelbagai disiplin perlumbaan termasuk perlumbaan ketahanan, perlumbaan jalan raya Amerika dan Formula 1.

Sejak membuat penampilan sulung dalam Formula 1 pada tahun 1966, McLaren telah melahirkan ramai juara dunia termasuk James Hunt, Emerson Fittipaldi, Alain Prost, Niki Lauda, Ayrton Senna, Mika Häkkinen, Lewis Hamilton dan terbaru Lando Norris.

Dalam tempoh 1,000 perlumbaan Grand Prix tersebut, McLaren berjaya meraih 200 kemenangan selain pelbagai gelaran Juara Pemandu dan Juara Pengeluar Formula 1.

Liveri Khas Inspirasi Perjalanan McLaren

Artura 1000GP tampil dengan liveri eksklusif yang diinspirasikan daripada perjalanan panjang McLaren menuju pencapaian Grand Prix ke-1,000.

McLaren Artura 1000GP

Menurut McLaren, reka bentuk khas itu bukan sekadar meniru skema warna jentera F1 semasa mereka, MCL40, sebaliknya menggambarkan cabaran, ketabahan dan kejayaan yang dilalui pasukan itu sepanjang sejarah mereka dalam sukan permotoran.

 

McLaren Artura 1000GP

Pasukan MSO menggunakan kemasan khas pada bahagian bonet, sisi bawah badan dan cermin sisi. Bagi melengkapkan kombinasi warna hitam dan oren papaya tersebut, jalur oren turut ditambah pada splitter hadapan serta diffuser belakang.

McLaren Artura 1000GP

Plak Khas Di Ruang Kabin

Di bahagian dalaman, setiap Artura 1000GP dilengkapi plak logam berwarna Papaya Metallic sebagai simbol eksklusif model tersebut.

Memandangkan hanya 10 unit akan dihasilkan, Artura 1000GP bakal menjadi antara model McLaren paling sukar dimiliki.

McLaren Artura 1000GP

Harga Tidak Didedahkan

McLaren tidak mendedahkan harga rasmi Artura 1000GP.

Sebagai rujukan, McLaren Artura standard dipasarkan pada harga bermula £190,100 (RM1.09 juta) di United Kingdom. Dengan pelbagai sentuhan khas daripada MSO dan jumlah pengeluaran yang sangat terhad, harga Artura 1000GP dijangka jauh lebih tinggi berbanding model biasa.

Spesifikasi Ringkas McLaren Artura

  • Enjin: 3.0-liter V6 twin-turbo plug-in hybrid
  • Kuasa: 700 PS (690 hp)
  • Tork: 720 Nm
  • Transmisi: DCT 8-kelajuan
  • Pecutan 0-100 km/j: 3.0 saat
  • Kelajuan maksimum: 330 km/j
  • Pacuan: Roda belakang (RWD)