Dalam kenyataannya pada Rabu, MCE berkata kejayaan meraih kontrak itu dapat mengukuhkan kedudukannya sebagai pembekal komponen automotif, elektronik dan mekatronik diyakini oleh pengeluar kereta terkemuka di dalam serta luar negara.
Syarikat itu terus mendapat dorongan untuk mengembangkan kehadiran pasaran eksportnya termasuk menerusi kontrak bekalan RM69.59 juta dengan JVIS, pembekal komponen automotif berpangkalan di Michigan, Amerika Syarikat (AS) yang menyediakan khidmat untuk pengeluar kereta terkemuka di peringkat global.
Kontrak selama 60 bulan yang juga susulan daripada penglibatan awal, menyaksikan MCE membekal komponen mekatronik bagi sebuah model kenderaan di pasaran AS dengan pengeluarannya dijadualkan bermula dalam suku pertama tahun kewangan berakhir pada 31 Julai 2027.
Selain itu, kontrak dengan Perodua pula merangkumi pelbagai projek bernilai kira-kira RM41.33 juta untuk dua model akan datang, kenderaan elektrik (EV) dan kenderaan enjin pembakaran dalaman (ICE).
MCE akan membekalkan rangkaian komponen elektronik dan mekatronik dengan model EV bagi tempoh 36 bulan mulai suku kedua tahun kewangan 2026 manakala model ICE melebihi 72 bulan bermula suku pertama tahun kewangan 2027.
Pada masa sama, MCE turut memperoleh kontrak bekalan selama 60 bulan dengan PROTON bagi alat ganti mekanikal dan mekatronik untuk model kereta baharu yang bernilai kira-kira RM9.75 juta.
Projek ini akan bermula pada suku pertama bagi tahun kewangan yang berakhir pada 31 Julai 2026.
Pengarah Urusan Kumpulan MCE, Dr Goh Kar Chun, berkata kejayaan memperoleh kontrak ini mencerminkan kepercayaan dalam kalangan pengeluar kereta terkemuka tempatan dan asing kepada syarikat itu bagi penghasilan komponen automotif maju dan cekap kos, khususnya dalam senario ketidaktentuan yang ketara selain perubahan dinamik perdagangan global.
"Kemampuan kami dalam menghasilkan penyelesaian pelbagai keperluan pelanggan kenderaan ICE konvensional sehinggalah EV generasi akan datang dan merentasi pasaran tempatan dan asing, tidak hanya mencerminkan kekuatan kepakaran dalaman kami, tetapi juga ketangkasan dalam mengemudi persekitaran operasi kompleks hari ini," katanya.
Beliau turut menyifatkan tumpuan itu seiring dengan aspirasi kerajaan untuk membolehkan Malaysia menjadi hab serantau bagi kenderaan generasi akan datang sepertimana digariskan dalam Dasar Automotif Nasional (NAP).
MCE merupakan pengeluar peralatan tulen (OEM) terkemuka dalam bidang kejuruteraan, reka bentuk dan pembuatan alat ganti elektronik automotif dan mekatronik untuk pasaran Malaysia dan serantau.