MBSB Research - Malaysia berisiko hilang RM4 bilion hasil petroleum jika harga minyak terus jatuh

oleh Penyumbang Rencana|
foto hiasan
Hasil petroleum negara dijangka berdepan pengurangan antara RM3 bilion hingga RM4 bilion jika harga minyak mentah Brent susut ke paras AS$55 hingga AS$60 satu tong pada 2026.

Ia susulan jangkaan lambakan minyak mentah global susulan tindakan Amerika Syarikat (AS) mengambil alih pentadbiran Venezuela.

Menurut laporan strategi MBSB Research, operasi ketenteraan AS di Venezuela, yang memiliki rizab minyak terbesar dunia, bukan sahaja mengejutkan pasaran dunia, tetapi juga berpotensi meningkatkan pengeluaran minyak negara itu.

MBSB Research menjelaskan bahawa setiap kejatuhan 10 peratus dalam harga minyak boleh diterjemahkan kepada penurunan hasil berkaitan petroleum kerajaan sebanyak 8.1 peratus.

Firma penyelidikan pasaran itu berkata, penurunan harga minyak ke paras ramalan AS$55 hingga AS$60 satu tong adalah lebih rendah berbanding unjuran rasmi kerajaan, iaitu antara AS$60 hingga AS$65 satu tong.

Keadaan ini berpotensi melebarkan defisit fiskal negara antara 0.15 peratus hingga 0.20 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

"Walau bagaimanapun, impak negatif berkenaan dijangka dapat dikurangkan melalui penjimatan dalam perbelanjaan subsidi bahan api," katanya.

Laporan itu juga menyatakan bahawa kerajaan mungkin menjimatkan peruntukan subsidi antara RM1 bilion hingga RM2.5 bilion jika harga minyak kekal rendah.

Penjimatan ini adalah hasil daripada rasionalisasi subsidi diesel dan RON95 yang sudah dilaksanakan sebelum ini, yang mengurangkan peruntukan tahunan daripada RM18 bilion hingga RM20 bilion kepada sekitar RM10 bilion hingga RM12 bilion.

Dengan mengambil kira penjimatan subsidi itu, kesan bersih kepada defisit fiskal negara dijangka lebih kecil, iaitu sekitar 0.03 peratus hingga 0.15 peratus daripada KDNK.

"Ini memberi sedikit ruang kelegaan kepada kedudukan kewangan negara, walaupun berdepan cabaran penurunan hasil," katanya.

Dalam pada itu, MBSB Research mengekalkan pendirian 'neutral' terhadap sektor minyak dan gas (O&G) tempatan memandangkan prospek harga minyak mentah yang lemah.

Firma penyelidikan itu menjangkakan lebihan bekalan minyak global akan terus menekan harga, menyukarkan kenaikan harga saham syarikat huluan.

Pelabur disarankan untuk memberi tumpuan kepada syarikat perkhidmatan pertengahan atau 'midstream' yang lebih berdaya tahan seperti Dialog Group Bhd.

Dialog Group dipilih sebagai saham pilihan utama dengan saranan 'beli' dan sasaran harga RM2.17.

Model perniagaan Dialog Group yang berasaskan pendapatan berulang daripada tangki simpanan minyak dilihat mampu bertahan, walaupun harga minyak tidak menentu.

Pendapatan syarikat berkenaan dijana menerusi pajakan jangka panjang yang stabil dan tidak terjejas secara langsung oleh turun naik harga komoditi.

Selain itu, laporan berkenaan turut menyentuh risiko geopolitik yang mungkin timbul akibat campur tangan AS di Venezuela, termasuk kemungkinan konflik baharu di Asia Barat.

Penguasaan AS terhadap minyak Venezuela dilihat sebagai langkah strategik untuk mengurangkan impak sekiranya berlaku sekatan di Selat Hormuz.

Dalam pada itu, pasaran saham tempatan dijangka kekal tenang dengan sasaran FBM KLCI pada 1,750 mata bagi 2026.

MBSB Research percaya bahawa konflik di Venezuela tidak akan memberi kesan besar kepada pasaran saham memandangkan operasi ketenteraan AS yang pantas.

Berita Harian

Berita Berkenaan

Berita Domestik
Menurut firma penyelidikan itu, pada April 2026, kerajaan perlu menanggung subsidi bahan api pada…