"Ini adalah inisiatif memperkukuhkan agenda hijau serta kelestarian bandar, sekali gus menjadikan MBSA PBT pertama di Malaysia menggunakan EV sebagai kenderaan operasi secara rasmi.
"Langkah memperkenalkan EV sebagai kenderaan jabatan ini sejajar komitmen MBSA terhadap usaha 'Bandar Hijau dan Rendah Karbon', sekali gus memberi penjimatan jangka panjang dari segi penggunaan petrol, penyelenggaraan enjin serta kos operasi keseluruhan.
"MBSA dicadangkan memasang beberapa stesen pengecas EV di lokasi strategik sekitar Shah Alam, bertujuan menjimatkan kos operasi harian MBSA dengan anggaran pengurangan 10 hingga 30 peratus setahun berbanding penggunaan petrol atau diesel, kerana tidak membabitkan penyelenggaraan komponen seperti menukar minyak, palam pencucuh atau tali sawat masa (timing belt).
"Dengan kos penyelenggaraan jauh lebih rendah dan penggunaan tenaga lebih efisien, EV terbabit akan digunakan sebagai kenderaan harian untuk pelbagai operasi termasuk penguatkuasaan, rondaan bandar, penyeliaan projek, lawatan tapak serta urusan rasmi jabatan," katanya dalam satu kenyataan, pada Isnin.
Selain berfungsi sebagai kenderaan operasi, Mohd Fauzi Aziz berkata, penggunaan EV terbabit juga menyokong usaha MBSA mempromosikan mobiliti rendah karbon serta meningkatkan kesedaran awam terhadap teknologi hijau.
"Ia adalah antara langkah penting dalam memperkasakan identiti Shah Alam sebagai 'Bandar Pintar dan Rendah Karbon', selain menyediakan data penggunaan sebenar bagi merangka peralihan penuh kepada penggunaan EV pada masa depan.
"Melalui penggunaan EV dalam operasi, MBSA menyasarkan pengurangan intensiti karbon di MBSA sekurang-kurang satu tan setahun serta peningkatan peratusan penggunaan kenderaan hijau di MBSA pada peringkat awal antara 10 hingga 20 peratus menjelang 2030," katanya.
Beliau berkata, inisiatif itu juga menyokong pelaksanaan lima Matlamat Pembangunan Mampan (SDGs), iaitu Tenaga yang Berpatutan dan Bersih (SDG 7); Industri, Inovasi dan Infrastruktur (SDG 9); Bandar dan Komuniti Mampan (SDG 11); Penggunaan dan Penghasilan yang Bertanggungjawab (SDG 12); serta Tindakan Iklim (SDG 13).