MBMCV, Cycle & Carriage Bintang bekerjasama lancar pusat 3S baharu di Ipoh

oleh Afandi Che Muhamad|
Komited untuk memudahkan lagi capaian kepada perkhidmatan atau servis kenderaan komersial, Mercedes-Benz Malaysia Commercial Vehicles (MBM CV) dan Cycle & Carriage Bintang Berhad selaku pengedar sah kenderaan Mercedes-Benz and FUSO di Malaysia baru-baru ini melancarkan pusat 3S baharu berhampiran Puspakom Gopeng, Ipoh dekat Perak.

Difahamkan, inisiatif pelancaran fasiliti yang menelan belanja hampir RM1.1 juta itu dilakukan serentak bersempena menyambut ulang tahun penubuhan ke-13 Cycle & Carriage Bintang sejak diasaskan pada tahun 2005.

Dibina di atas tapak berkeluasan 13,412 kaki persegi, pusat 3S baharu kelolaan Cycle & Carriage Bintang tersebut menawarkan ruang perkhidmatan servis, jualan dan alat ganti lengkap dengan kemudahan yang selesa khusus untuk pelanggan mereka di wilayah Utara.

Fasiliti berkonsepkan ala-ala kanopi terbuka berkenaan berupaya menampung lapan unit kenderaan pameran dalam satu-satu masa selain tersedia dengan empat platform servis kenderaan beserta pit khas untuk talaan enjin.

Ruang yang luas tersebut membolehkan fasiliti tersebut memuatkan lebih 43 unit kenderaan komersial Mercedes-Benz dan FUSO dalam tempoh sebulan.  

Naib Presiden Bahagian Kenderaan Komersial bagi Mercedes-Benz Malaysia, Albert Yee berkata, pelancaran fasiliti baharu itu jika dilihat cukup bertepatan dengan slogan mereka sebelum ini ‘Trak yang anda boleh percayai (Trucks you can trust)’.

"Susulan pelancaran pusat 3S ini, kami optimis ia mampu meningkatkan capaian perkhidmatan servis dan penjualan trak berkualiti tinggi kepada pengguna di bahagian Utara tanah air.

"Kami pasti ramai menantikan penawaran trak Mercedes-Benz dan FUSO yang terbukti cekap minyak cuma masing-masing menghadapi masalah capaian yang jauh," ujarnya.

Gambar menunjukkan Yee (kiri sekali) dan Foo (kanan sekali) berjabat tangan pada majlis pelancaran pusat 3S baharu berkenaan kelmarin.

 

Dalam perkembangan sama, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Cycle & Carriage Bintang Berhad, Wilfrid Foo memberitahu, kewujudan pusat 3S baharu itu membantu tiga lagi pusat lain termasuk di Bukit Tengah, Batu Caves and Johor Bahru.

"Pelancaran pusat ini begitu signifikan kepada kami kerana pada hari ini (kelmarin) juga kami sah memeterai perjanjian jualan dan servis bagi kenderaan jenama FUSO.

"Ditambah dengan penyediaan fasiliti seumpamanya yang dianggap satu petanda perkembangan bisnes yang baik. Untuk makluman, pusat 3S baharu ini merangkumi ruang bacaan, surau, tandas, bilik rehat lengkap bersama katil dan beberapa perabot lain yang cukup selesa," tutur Foo.

Terdahulu, Cycle & Carriage Berhad turut memanfaatkan majlis pelancaran pusat 3S baharu itu dengan upacara penyerahan beberapa unit trak Mercedes-Benz Actros kepada Chuan City Enterprise Sdn. Bhd. dan Pek Ong & Sons Nurseries Sdn. Bhd.

Maklumat lanjut berkenaan perkhidmatan tawaran Cycle & Carriage Berhad boleh didapati dengan melayari laman web, www.ccb.mercedes-benz.com.my atau hubungi talian 03-7872 8136.

Add new comment

Careta Ad

Berita Berkenaan

Berita Domestik
Naib Presiden MBM CV, Albert Yee (gambar) berkata, angka tersebut dicatatkan menerusi penjualan…
Berita Domestik
Menurut Naib Presiden Kenderaan Komersial Mercedes-Benz Malaysia, Albert Yee, Pusat Kenderaan…