MB Perak - Jalan Raya Timur Barat Gerik-Jeli perlu dibina baharu, bukan ditampal

oleh Penyumbang Rencana|
Kerajaan negeri berharap permohonan bagi menaik taraf Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) yang menghubungkan Gerik di Perak dengan Jeli di Kelantan akan dimasukkan dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, perkara itu dimaklumkan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika beliau hadir ke negeri ini minggu lalu.

Katanya, beliau dan Anwar memahami akan keperluan tersebut, namun mengakui ia melibatkan kos yang tinggi.

Saarani berkata, JRTB yang berusia lebih 40 tahun kini dimamah usia dan tidak boleh diselesaikan dengan hanya kaedah menampal kerosakan.

“Perlu dilihat semula tentang jajaran dan pelebaran. Menaik taraf ini bukan setakat tampal, tetapi keperluan membina semula. Struktur yang ada sudah lama dan sehingga sebahagian kerosakan itu boleh menampakkan lantai.

“Jika sekadar tampal, mungkin tidak mencukupi. Kita faham ia memerlukan peruntukan yang besar,” katanya.

JRTB dibuka pada 1 Julai 1982 setelah mengambil masa  12 tahun untuk disiapkan dan sering berdepan ancaman bersenjata komunis yang masuk menerusi hutan sempadan Thailand sehingga penghujung 1980-an.

Jalan tersebut menjadi perhatian ekoran kes kematian anak gajah yang dilanggar lori dan tragedi meragut nyawa 15 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) baru-baru ini.

Saarani berkata, kerajaan negeri telah mengarahkan beberapa Exco untuk mengkaji dan mencadangkan pelan menaik taraf JRTB dan Hospital Gerik sebelum diserahkan kepada Kementerian Kerja Raya dan Kementerian Kesihatan.

“Langkah ini penting, jika tidak mangsa kemalangan terpaksa dibawa ke Taiping atau Ipoh. (Perjalanan) Dari Gerik ke Ipoh mengambil masa dua jam,” katanya.

 

Bernama

Berita Berkenaan

Berita Domestik
Menurutnya, antara lokasi terlibat termasuk laluan FT004 Jalan Raya Timur-Barat Gerik–Jeli dan…
Berita Domestik
Dalam kejadian kira-kira pukul 3.09 petang itu, mangsa, Wan Nurfarihin Wan Zamri, 26, disahkan…
Berita Domestik
Beliau berkata, pada Jun 2023, peruntukan sebanyak RM30 juta diluluskan untuk membina semula…