Mazda6e UK dan Australia
Di dalam artikel sebelum ini, Mazda telah melancarkan 6e di United Kingdom (UK) dengan penawaran gred Takumi dan Takumi Plus.
Satu lagi yang menarik, walaupun menggunakan bateri 78 kWj yang sama, harga di UK jauh lebih tinggi iaitu bermula £38,995 (RM205,075) sehingga £39,995 (RM210,334).
Sebaliknya bagi pasaran Australia, model ini ditawarkan dengan harga yang lebih mampu milik bermula dari $49,990 (RM137,522).
Selain rekaan luar yang anggun, rekaan kabin Mazda6e dipengaruhi konsep tradisi Jepun yang dipanggil ma atau keindahan dalam ruang kosong.
Pendekatan minimalis ini digabungkan dengan kemasan berkualiti tinggi bagi memastikan pemandu dan penumpang berasa tenang serta selesa sepanjang perjalanan.
Varian tertinggi Atenza di Australia tampil lebih mewah dengan kemasan tempat duduk kulit Nappa dan suede sintetik bersama corak jahitan berwarna perang serta stereng dua tona hitam dan perang.
Manakala bagi varian GT, ia menggunakan kemasan kulit tiruan Maztex yang tetap menawarkan kualiti premium.
Rangkaian Kuasa
- Motor elektrik tunggal pacuan roda belakang RWD
- Kuasa maksimum 190 kW (258 ps)
- Tork maksimum 290Nm
- Bateri LFP 78 kWj
- Jarak pemanduan WLTP sehingga 560 km
- Pecutan 0 ke 100 km/j dalam 7.9 saat
- Kadar penggunaan tenaga 15.9 kWj per 100 km
- Pengecasan pantas DC 30 peratus ke 80 peratus dalam 15 minit (Australia)
- Jenis port pengecasan CCS Type-2
Teknologi dan Keselamatan Pintar
Selari dengan trend, Mazda menyediakan aplikasi Mazda 6e dan dilengkapi fungsi kunci Bluetooth yang juga ciri pertama untuk Mazda.
Pemilik juga boleh mengawal sistem penyaman udara, mengunci atau membuka pintu serta mengawal tingkap dengan hanya menggunakan telefon pintar.
Teknologi pemanduan dikawal melalui skrin sentuh 14.6 inci dan panel instrumen 10.2 inci dengan paparan realiti terimbuh (AR).
Dari segi praktikaliti, ia mempunyai ruang but belakang 336 liter dan ruang but hadapan (frunk) sebesar 72 liter.
Dari aspek keselamatan, Mazda 6e dilengkapi pakej bantuan pemandu menyeluruh.
Ini termasuklah ciri Smart Brake Support dengan pengesanan pejalan kaki dan penunggang basikal ketika membelok di persimpangan.
Selain itu, pemandu turut dibantu dengan amaran trafik lintasan bagi bahagian depan dan belakang.
Sistem pemantauan pemandu juga disediakan untuk memastikan tahap fokus pemandu sentiasa berada dalam keadaan terbaik.
Harga dan Varian di Australia
Bagi pasaran Australia, harga jualan bermula dari $49,990 (RM137,522) untuk varian GT manakala varian Atenza pula dijual pada harga $52,990 (RM145,775).
Ciri-Ciri Mazda 6e
- Bateri LFP 78 kWj, 190 kW, 290Nm
- Jarak 560 km
- Roda aloi bersaiz 19 inci rekaan aerodinamik
- Kerusi Maztex dengan pelarasan kuasa dan memori bagi pemandu
- Penyaman udara dengan kawalan dua zon belakang berasingan
- Spoiler belakang boleh laras elektronik
- Bumbung suria panoramik dengan pelindung cahaya elektrik
- Pintu but kuasa dengan kawalan jauh
- Tempat duduk sport dengan sistem pemanas dan pengudaraan di bahagian depan
- Kapasiti but belakang 336 liter
- Kapasiti but hadapan 72 liter
- Tujuh pilihan warna termasuk Soul Red Crystal Metallic dan Machine Grey Metallic
Penulis: Muhammad Md Tajudin