Model edisi khas ini diperkenalkan sebagai tanda peringatan 20 tahun sejak model generasi pertama Mazda6 dilancarkan pada tahun 2002.
Mazda6 20th Anniversary Edition membawakan penggayaan yang unik untuk bahagian luaran dan dalaman.
Seperti contoh, penampilan logo ulang tahun pada bahagian fender depan, rim aloi Bright Metallic 19 inci, serta jeriji radiator Gunmetal yang lebih sporti.
Ruang dalaman Mazda6 20th Anniversary ini diserikan dengan tempat duduk balutan kulit Tan dengan fungsi ventilasi, logo 20th Anniversary pada perehat kepala, cermin pandang belakang tanpa bingkai, skrin kluster MID tujuh inci, dan pelindung cahaya matahari untuk tingkap belakang.
Tidak ketinggalan, kesemua varian dibekalkan dengan sistem pengecasan peranti pintar tanpa wayar Qi secara standard.
Mazda6 20th Anniversary Edition dan Mazda6 2.5L Touring kini dilengkapi dengan ciri i-Activsense terbaharu merangkumi sokongan brek pintar depan dan belakang (SBS), kawalan jelajah radar (MRCC) dengan fungsi berhenti/mula dan Cruising & Traffic Support (CTS).
Khusus untuk varian 20th Anniversary Edition ialah layangan warna Artisan Red Premium yang direka dengan menggunakan teknologi pewarnaan unik Takuminuri.
Teknologi ini mampu menghasikan kemasan cat berkualiti tinggi seolah-olah warna tersebut dicat menggunakan tenaga tangan yang pakar.
Mazda6 Sedan boleh didapati dengan enjin 2.0L Skyactiv-G (162 hp, 213 Nm), atau enjin 2.5L Skyactiv-G (192 hp, 258 Nm) untuk varian 20th Anniversary Edition dan Mazda6 Touring, dengan padanan transmisi automatik enam nisbah kelajuan.
Harga jualan adalah seperti berikut:
• Mazda6 2.0L Sedan - RM180,359.00
• Mazda6 2.5L Touring - RM230,848.00
• Mazda6 20th Anniversary Edition - RM240,848.00
Kesemua model Mazda didatangkan dengan jaminan pengeluar selama lima tahun atau had perbatuan 100,000 km (yang mana tiba dahulu), serta pakej penyelenggaraan percuma lima tahun atau had perbatuan 100,000 km (yang mana tiba dahulu) merangkumi alat ganti, pelincir dan kos buruh.