
Dari luar, Mazda3 untuk pasaran Jepun ini nampak sama sahaja kecuali warna baharu Ceramic Metallic.
Mazda menumpukan pada teknologi keselamatan seperti Inattentive Warning bagi mengesan pemandu yang hilang fokus.
Sistem kemudiannya akan memberi amaran pada skrin dan mengaktifkan audio bagi menarik perhatian pemandu.
Satu lagi yang diperbaharui ialah Kawalan Pencegahan Tersilap Pandu (Depan/Belakang) yang kini boleh mengesan pejalan kaki di depan selain kereta dan dinding.

Selain teknologi keselamatan, Mazda juga mempertingkatkan kelengkapan dalam kabin.
Kesemua varian kecuali 20S dan XD Proactive diberi skrin 10.25 inci berbanding 8.8 inci sebelum ini.
Turut dilengkapi pengecas tanpa wayar Qi, slot USB Jenis C dengan lampu dan sambungan tanpa wayar dan berwayar Apple CarPlay.
Pengguna Android Auto boleh menghubungkan peranti mereka menggunakan kabel.

Lagi pakej canggih pada Mazda3 jepun ialah sistem keselamatan yang berfungsi apabila kereta mengalami masalah atau dicuri (kecuali SKYACTIV-G 1.5).
Petugas dari syarikat keselamatan akan dihantar bagi memeriksa dan mengawasi kenderaan.
Sistem itu berfungsi melalui khidmat terhubung dan dilengkapi peranti komunikasi kenderaan.

Satu lagi sistem canggih ialah fungsi kelajuan, masa dan lokasi pemanduan yang boleh ditetapkan di dalam aplikasi MyMazda.
Peringatan akan dihantar ke aplikasi MyMazda sekiranya kenderaan berada di luar tetapan tersebut.
Melalui aplikasi yang sama, pemilik Mazda3 (kecuali model manual) boleh menghidupkan atau mematikan enjin dari jauh dan menyejukkan kereta sebelum dipandu.

Di Jepun, Mazda3 digerakkan pelbagai pilihan enjin seperti SKYACTIV-G 1.5, e-SKYACTIV G 2.0, SKYACTIV-D 1.8 dan e-SKYACTIV X 2.0.
Berbanding model sedan, Mazda3 Fastback lebih istimewa untuk pemandu dengan pilihan transmisi manual enam kelajuan dan pacuan 4WD.
Berkenaan harga, Mazda3 dijual dari 2,288,000 yen (RM75,399) hingga 3,866,500 yen (RM127,418).
Penulis: Muhammad Md Tajudin