Mazda RX-7: Sejarah tiga generasi kereta sport rotari Wankel

oleh Mohamad Hanif|
Bila sebut soal kereta sports bernadikan enjin rotari, perkara pertama yang terlintas di fikiran sudah tentulah model kereta Mazda RX-7.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Tiga generasi berjaya mewarnai jalan raya dunia semenjak ia pertama kali diperkenalkan pada tahun 1978 sebagai sebuah kereta sports produksi massa dari Mazda, dan 811,634 unit kereta sports Mazda RX-7 terjual di seluruh dunia.

Jadi, apakah rahsia yang membuatkan ia begitu laris terjual?

Resipi pemanduan yang menyeronokkan, rekaan yang ringan serta enjin rotari yang bersesaran kecil akan tetapi mampu menyaingi pesaing-pesaing yang rata-ratanya memiliki sesaran yang lebih besar.

Bersempena dengan ulang tahun ke-100 Mazda, mari kita imbas kembali sejarah tiga generasi kereta sports rotari Mazda yang ikonik ini.

 

Mazda RX-7 SA22C/FB (1978-1985)


Tahun 1978 merupakan tahun bersejarah di mana Mazda mula memproduksikan kereta sports Mazda RX-7 SA22C bagi menggantikan model Savanna RX-3.

Rekaan SA22C ini diketuai oleh Matasaburo Maeda, ayah kepada Ikuo Maeda yang bertanggungjawab menghasilkan rekaan Mazda2 dan juga pengganti RX-7 iaitu Mazda RX-8!

Antara kelebihan yang ada pada RX-7 pada ketika itu adalah saiz dan berat yang minima, dan ditambah pula dengan enjin rotari yang kompak dipasang di belakang gandar hadapan menjadikan pengagihan berat yang lebih seimbang.

 


Enjin asal 12A merupakan unit rotari yang 'dipanjangkan' daripada enjin 10A, dan memiliki sesaran sekitar 1,146 cc menjadikan pemilikan Mazda RX-7 pada ketika itu sesuatu yang berbaloi kerana tidak dibebani dengan cukai jalan yang mahal.

Enjin dua rotor ini mampu menjana 101 PS pada 6,000 rpm yang membolehkan ia mencapai kelajuan tertinggi 190 km/j.

Versi turbo 12A pula diperkenalkan pada tahun 1984 dan output meningkat kepada 165 PS dan 231 Nm daya kilas yang masuk pada 4,000 rpm putaran enjin.

 


Ketika pengenalan, Mazda RX-7 FB diakui sebagai salah sebuah kereta sports yang memiliki pengendalian dan pecutan yang terbaik, dan ia juga turut dibantu dengan sistem suspensi belakang 4-link dengan sambungan Watt, pembahagian berat ideal 50:50 serta berat bersih di bawah 1,100 kg sahaja.

Mazda RX-7 FB ini merupakan antara generasi yang paling laris terjual, dengan angka jualan mencecah 471,018 unit dari tahun 1978-1985.

 

Mazda RX-7 FC3S (1985-1992)


Lebih dikenali dengan nama Mazda Savanna RX-7, generasi kedua RX-7 ini diperkenalkan pada tahun 1985 dan rekaannya banyak diinspirasikan daripada model Porsche 924 dan Porsche 944.

Menurut ketua jurutera Akio Uchiyama, beliau banyak merujuk kepada kedua model itu memandangkan ia merupakan kereta sports yang direka untuk pasaran Amerika Syarikat.

 


Jika Mazda RX-7 FB merupakan kereta sports tulen, pembangunan Mazda RX-7 FC pula lebih kepada menjadikannya sebuah kereta sports-tourer yang lebih 'lembut', namun dengan pengendalian yang dipertingkat dan talaan untuk mengurangkan kecenderungan oversteer yang ada pada model FB.

Pada model ini juga, Mazda turut memperkenalkan ciri Dynamic Tracking Suspension System (DTSS), ciri di mana sistem suspensi mampu mengubah geometri suspensi belakang berdasarkan daya G yang terhasil ketika mengambil selekoh.

Untuk pasaran eksport, hanya enjin aspirasi natural sahaja ditawarkan dengan angka output 150 PS dibenarkan.

 


Namun, untuk pasaran Jepun, Mazda RX-7 FC didatangkan dengan enjin rotari turbo, di mana model Turbo II menggunakan enjin 13B yang dipasang unit turbo dengan rekaan twin-scroll yang mampu mengurangkan kesan turbo lag pada putaran enjin yang rendah.

Versi turbo ini kemudian dipertingkatkan lagi kuasanya sehingga mampu mencapai angka 185 kuasa kuda (model '86-'88) dan 200 kuasa kuda (model '89-'91).

Mazda berjaya menjual lebih daripada 270,000 unit menerusi pengenalan generasi kedua FC3S ini.

 

Mazda RX-7 FD3S (1992-2002)


Siapa sangka, kereta ini lahir di kemuncak kegemilangan kereta sports Jepun, dan untuk generasi ketiga FD3S (kod nama di Jepun) didatangkan dengan rekaan yang lebih moden mendahului zaman.

Tidak seperti generasi terdahulu, Mazda RX-7 FD ini hadir dengan enjin 13B-REW rotor berkembar dan turbo berkembar yang mampu menghasilkan 255 PS pada tahun 1993 dan angka itu terhenti pada 280 PS menjelang tamat produksi pada tahun 2002.

 


Memandangkan tempoh produksi yang agak panjang, Mazda RX-7 FD3S mempunyai banyak versi yang diperkenalkan sepanjang tempoh tersebut termasuklah versi edisi terhad seperti:

  • 300 unit Type RZ (1992)
  • 150 unit RZ (1993)
  • 350 unit R-II Bathurst (1994)
  • 777 unit R Bathurst X (1995)
  • 700 unit RB Bathurst X (1997)
  • 500 unit RS-R (1997)
  • 325 unit RZ (2000)
  • 650 unit R Bathurst R (2001)
  • 1,504 unit Spirit R (2002)

 


Pada penghujung tempoh produksi (2002), Mazda RX-7 FD3S berjaya dijual sebanyak 68,589 unit.

Di Jepun, jualannya sedikit terjejas apabila perubahan regulasi dimensi di mana saiz dan dimensi Mazda RX-7 FD3S pada waktu itu diklasifikasikan sebagai kereta sports mewah akibat pertambahan had lebar yang dibenarkan walaupun enjin masih kekal dengan sesaran 1.3 liter.

Semangat enjin rotari kemudian diteruskan dengan pengenalan Mazda RX-8 yang didatangkan dengan nadi 13B-MSP Renesis.

Ia merupakan evolusi kepada enjin 13B sedia ada dan direka untuk mengurangkan emisi ekzos dan meningkatkan tahap penjimatan bahan api - sesuatu yang sukar untuk dicapai dengan penggunaan enjin Wankel.

Oleh sebab ia juga kini tidak lagi menampilkan ciri turbo berkembar, enjin 13B-MSP RENESIS kini kurang berkuasa berbanding abangnya 13B-REW.

 


Cakap-cakap berkenaan kebangkitan semula enjin rotari terus didengari saban tahun, namun berdasarkan berita yang terkini, enjin rotari berkemungkinan besar akan dihidupkan semula dalam bentuk unit penambah jarak pada kenderaan elektrik.

Model yang dimaksudkan sudah tentu Mazda MX-30, crossover elektrik yang bakal didatangkan dengan varian range extender daripada unit rotari kecil.

Namun, sebagai salah seorang daripada peminat Mazda, kita semua berharap agar enjin rotari Wankel ini dapat membuat kemunculan semula dalam bentuk yang lebih sempurna dan lebih maju, menjadikan Mazda salah sebuah pengeluar yang masih tegar dan degil dengan teknologi ringkas rotari ini.

 

Berita Berkenaan

Berita Global
Untuk makluman, rim tempa TE37 Saga S-Plus ini mula diperkenalkan pada tahun 2016 sebagai satu…
Berita Global
Bermula tahun 2027, Lotus akan menjadi sebuah jenama EV sepenuh masa, di mana peranan yang…
Berita Global
Perkara itu disahkan sendiri oleh CEO Honda, Toshihiro Mibe dalam satu temubual oleh laman Autocar…