Model istimewa ini ditawarkan dalam kedua-dua jenis bumbung lembut Roadster atau Roadster RF dengan bumbung keras.
Sejak 1989, lebih 1.2 juta unit Roadster terjual dan satu jumlah tinggi untuk sebuah kereta sport dua kerusi, saiz kompak dan bumbung boleh buka.
Tahniah kepada satu daripada pembeli yang menghargai warisan automotif dunia.
Lupakan tentang gaya sport kerana Mazda memiih tema kematangan yang terkumpul selama lebih 35 tahun sejarah dan vintaj kereta ini.
Roadster 35th Anniversary dibuat untuk pelanggan dewasa yang mencapai kemuncak kematangan dan boleh dilihat pada warna Artisan Red dan dalaman perang.
Bayangkan sensasi kereta ini apabila ditemui di dalam bangsal atau garaj berpuluh tahun akan datang.
Untuk memilikinya pelanggan di Jepun perlu cepat kerana 1,000 buah sahaja dikeluarkan bagi model Roadster dan Roadster RF.
Tempahan sudah pun dibuka dan berlangsung sehingga 3 Mac 2025.
Ciri-ciri Mazda Roadster 35th Anniversary Edition:
- Warna badan Artisan Red Premium Metallic, warna istimewa keempat Mazda menggunakan teknik pengecatan Takuminuri
- Pertama kali digunakan pada Roadster dan warna khusus untuk 35th Anniversary Edition
- Lencana khusus dengan nombor siri
- Rim aluminium 17x7j inci dalam warna kilatan tinggi (Roadster RF 35th Anniversary)
- Penyandar kepala dengan logo 35th Anniversary
- Dalaman warna perang sport (alas kaki, karpet, sulaman stereng, sarung tombol gear, tombol gear, brek tangan
- Bingkai dalaman corong penyaman udara warna merah gelap
- Pilihan fob kunci warna Artisan Red Premium Metallic
Roadster 35th Anniversary digerakkan enjin SKYACTIV-G 1.5 liter yang dipadan bersama kotak gear manual enam kelajuan dan pacuan roda belakang (FR).
Roadster RF dibekalkan enjin SKYACTIV-G 2.0 liter dengan pacuan FR dan dua pilihan kotak gear iaitu manual atau automatik enam kelajuan.
Roadster ditawarkan pada harga 3,753,200 yen (RM107,097). RF pula berharga 4,354,900 yen (RM124,279) dan 4,382,400 yen (RM125,063) untuk model automatik.
Mazda turut mempertingkatkan varian lain dan dilengkapi sambungan Apple CarPlay tanpa wayar dan warna unik Zircon Sand Metallic ditamatkan.
Harga Roadster bermula dari 2,898,500 yen (RM82,751) sehingga 3,753,200 yen (RM107,134).
Roadster RF dari 3,796,100 yen (RM108,358) sehingga 4,382,400 yen (RM125,094).
Penulis: Muhammad Md Tajudin