Mazda ICONIC SP dengan enjin rotary berkembar, bayangan MX-5 atau RX-7 baharu?

oleh Muhammad Md Tajudin|
Mazda ICONIC SP
Mazda ICONIC SP
Mazda Roadster atau MX-5 dikeluarkan sejak 2015 dan baharu saja diperkemaskan pada 5 Oktober lalu.

Maknanya, kitaran hayat MX-5 akan bertahan beberapa tahun lagi. RX-7 pula sebuah lagi model bersejarah Mazda dan lebih dua dekad dikeluarkan dari 1978 hingga 2002.

RX-7 terhenti di situ dan Mazda menawarkan RX-8 yang dikeluarkan sehingga 2012.

Kedua-dua RX-7 dan RX-8 menggunakan enjin putar (rotary) yang lama direhatkan atau lebih tepat lagi sejak RX-8 ditamatkan.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02
Mazda ICONIC SP

 

Lama berehat, enjin rotary diperbaharui dan tampil semula di dalam MX-30 R-EV yang diperkenalkan pada Januari 2023.

Sempena Japan Mobility Show yang berlangsung di Tokyo, Mazda memperkenalkan sebuah model konsep menarik iaitu ICONIC SP.

Adakah ini bayangan MX-5, RX-7, RX-8 atau model baharu sepenuhnya? 

Tiada jawapan tepat kecuali ICONIC SP adalah sebuah kereta konsep yang menggabungkan rangkaian kuasa dua rotor dengan platform kenderaan elektrik. 

 

Mazda ICONIC SP

 

Pakej itu telah digunakan pada MX-30 R-EV namun berbeza dengan rotor tunggal.

Enjin 830 cc MX-30 R-EV bertindak sebagai penjana (generator) yang membekalkan kuasa kepada sistem elektrik bagi menggerakkan roda. 

Mazda memaklumkan ICONIC SP adalah sebuah kereta sport kompak yang direka bagi mengadaptasi era baharu.

ICONIC SP juga menunjukkan komitmen berterusan Mazda dalam menghasilkan produk yang memenuhi kecintaan pelanggan terhadap pemanduan dan kereta.

 

Mazda ICONIC SP

 

Memandangkan perkataan sport kompak dipilih, berikut ukuran dan berat MX-5 di pasaran:

  • Panjang: 3,915 mm
  • Lebar: 1,730 mm
  • Tinggi: 1,235 mm
  • Jarak roda: 2,310 mm
  • Berat: 961 kg - 1,080 kg

Berikut pula ukuran dan berat ICONIC SP:

  • Panjang: 4,180 mm
  • Lebar: 1,850 mm
  • Tinggi: 1,150 mm
  • Jarak roda: 2,590 mm
  • Berat: 1,450 kg

Dari perbandingan di atas boleh dilihat ICONIC SP lebih besar dan berat namun lebih rendah daripada MX-5.

 

Mazda ICONIC SP

 

Mazda mengesahkan ICONIC SP mempunyai pusat graviti yang rendah untuk prestasi pemanduan cemerlang. 

Bonet juga dapat dibuat rendah susulan pemasangan enjin rotary yang ringan dan kompak pada bahagian tengah kereta.

Mazda memaklumkan idea sistem EV dua rotor memungkinkan penggunaan pelbagai jenis enjin dengan bentangan fleksibel termasuk hidrogen sebagai bahan bakar.

Maknanya, Mazda bersikap terbuka tentang rangkaian kuasa ICONIC SP dan mungkin sudah mempunyai perancangan panjang.

 

Mazda ICONIC SP

 

Selain ukuran di atas, Mazda juga berkongsi angka kuasa iaitu 370 ps yang jauh lebih tinggi berbanding MX-5 2.0 liter dan nisbah kuasa kepada berat 3.9.

Dari segi reka bentuk, badan ICONIC SP yang anggun dan menawan dipadan bersama dalaman ringkas dan bersahaja tanpa skrin tengah menonjol keluar dari papan pemuka.

Jika model ini pengganti MX-5 bumbungnya perlu mempunyai dua pilihan, jenis keras (hard top) atau lembut (soft top).

Penulis: Muhammad Md Tajudin

Berita Berkenaan

Berita Global
Ia merupakan sebuah kereta yang sangat cantik pernah dihasilkan oleh Mazda yang mampu memenuhi…
Berita Global
Sejak daripada itu, khabar angin tentang kemunculan model pengganti RX-7/RX-8 sudah lama bertebaran…