Mazda EZ-6/Mazda6e menang World Car Design of the Year 2026!

oleh Muhammad Md Tajudin|
Mazda6e Eropah 2025
Mazda6e Eropah 2025
Mazda sekali lagi membuktikan kehebatan dalam aspek estetika apabila Mazda EZ-6/Mazda6e  memenangi anugerah World Car Design of the Year (WCDOTY) 2026.

Keputusan ini diumumkan oleh pihak World Car Awards (WCA) pada 1 April di New York, Amerika Syarikat.

Kemenangan ini pencapaian bersejarah buat jenama dari Hiroshima tersebut kerana ia menandakan kali ketiga Mazda menerima pengiktirafan reka bentuk tertinggi ini.

Sebelum ini, Mazda pernah merangkul anugerah yang sama melalui model Mazda Roadster (MX-5) pada tahun 2016 dan Mazda3 pada tahun 2020.

Proses Penilaian dan Pemilihan Global

 

Mazda6e Eropah

 

Anugerah ini merupakan sebahagian daripada acara World Car of the Year Awards yang telah bertapak sejak Januari 2004.

Bagi edisi 2026, persaingan adalah sangat sengit di mana pemenang dipilih daripada 90 model kenderaan yang layak.

Proses pengundian dilakukan secara telus oleh panel juri yang terdiri daripada 98 wartawan automotif dari seluruh dunia.

Kejayaan Mazda EZ-6/Mazda6e dalam kategori anugerah khas ini mengukuhkan lagi kedudukan Mazda sebagai peneraju dalam seni reka bentuk kenderaan global.

Falsafah Reka Bentuk Authentic Modern

 

Mazda6e Eropah 2025

 

Mazda EZ-6/Mazda6e mewakili satu cabaran baharu dalam transformasi elektrifikasi Mazda.

Ia direka untuk mengekalkan keunikan identiti Mazda sambil memperkenalkan inovasi yang segar.

Di bawah tema reka bentuk KODO — Soul of Motion, model ini mengangkat konsep Authentic Modern.

Hasilnya adalah sebuah model yang menggabungkan bentuk dinamik dan berjiwa dengan elemen kemodenan tahap tinggi yang sesuai untuk sebuah kenderaan elektrik.

 

Mazda6e Eropah 2025

 

Model ini menampilkan gayaan coupe dengan perkadaran yang sangat seimbang.

Selain rekaan berseni, Mazda juga mengekalkan nilai keseronokan memandu serta pengalaman mobiliti yang bermakna walaupun dalam era elektrik.

Dari China ke Dunia 

Mazda EZ-6 pada asalnya dilancarkan di China pada Oktober 2024.

Model ini menggabungkan DNA reka bentuk Mazda dan prestasi pemanduan Jinba-ittai dengan teknologi elektrik serta pintar rakan kerjasama Chongqing Changan Automobile.

 

Mazda6e Eropah 2025.04

 

Bagi memenuhi keperluan global, Mazda6e telah dibangunkan berasaskan model EZ-6 dengan beberapa penambahbaikan khusus mengikut fungsi dan keperluan pasaran antarabangsa.

Mazda6e mula dijual di Eropah pada September 2025.

Mazda juga telah merancang untuk memperkenalkan model ini ke pasaran Australia, ASEAN dan wilayah lain dalam tahun 2026.

Penulis: Muhammad Md Tajudin

 

Mazda6e Eropah 2025.04

 

Berita Berkenaan

Berita Global
  Setiap perincian Mazda6e dibangunkan untuk menawarkan pengendalian yang tepat, tindak balas…
Berita Global
  Sifirnya bukan rahsia iaitu rekaan yang menyerlah dan tidak bergantung secara mutlak kepada…