Menurut perkongsian yang dibuat oleh ahli forum New Nissan Z, Mazda baru-baru ini telah menghantar permohonan pendaftaran paten di Jepun untuk logo R dengan rekaan yang agresif, memberikan bayangan Mazda bakal hadir dengan produk pantas serba baharu pada masa akan datang.
Logo R tersebut turut menampilkan bentuk segitiga berwarna merah, dan terdapat kemungkinan besar logo tersebut melambangkan enjin rotari Wankel yang bakal membuat kemunculan semula berdasarkan beberapa laporan terdahulu.
Sebelum ini, media melaporkan enjin rotari akan membuat kemunculan semula namun ia hanya bertindak sebagai unit penambah jarak pada model EV disebabkan kelebihan saiznya yang cukup kompak.
Namun begitu, kita juga tidak dapat menolak kemungkinan Mazda bakal membawakan model pengganti baharu bernadikan rotari setelah sekian lama enjin tersebut 'terkubur' menerusi model terakhirnya Mazda RX-8.
Sebagai makluman, sebelum ini model kereta sports Mazda RX-7 pernah dilancarkan dalam versi Spirit R yang merupakan model edisi terhad terakhir yang dihasilkan sebanyak 1,500 unit sebelum produksi RX-7 (FD) ditamatkan.
Baca: Sejarah tiga generasi Mazda RX-7
Buat masa ini, ia hanyalah sekadar spekulasi, sama-sama kita nantikan apakah yang bakal dibawakan oleh Mazda menerusi logo baharu R ini.
Sumber: Forum New Nissan Z