Mazda CX-8 2WD Mid Plus - SUV mewah untuk seisi keluarga!

oleh Mohamad Hanif|
Sama seperti adik-beradik SUV Mazda yang lain seperti CX-3 dan CX-5 (termasuk varian turbo), Mazda CX-8 kini merupakan penambahan terbaharu ke dalam keluarga SUV yang lahir bersurat beranak Kilang Mazda Kulim, Kedah.
PERODUA MREC Banner Campaign February 2024
HONDA CR-V MREC Banner Campaign March 2024

Bagi mereka yang merungut kenapa Mazda tidak mahu membezakan ciri-ciri luaran antara SUV-SUVnya, usah risau kerana penulis juga sebenarnya berpendapat sedemikian pada awalnya. 

Namun, sama seperti jenama premium yang lain, konsep bahasa rekaan KODO Design yang dibawakan lebih kepada satu identiti tetap bagi kenderaan-kenderaan Mazda masa kini. 

Supaya orang ramai tahu bahawa ia adalah sebuah Mazda yang premium, tidak kira apa juga model yang dipandu oleh rakyat Malaysia. 

 


Atas kertas, Mazda CX-8 sebenarnya memiliki saiz dan dimensi yang hampir serupa dengan Mazda CX-5, namun dengan jarak antara roda yang lebih panjang.

Kenapa dengan jarak antara roda yang lebih panjang? 

Mazda CX-8 sebenarnya merupakan alternatif kepada mereka yang mahukan sebuah CX-5 yang boleh memuatkan sehingga tujuh orang pada satu-satu masa. 

Versi yang kami pandu uji di Utara tempoh hari merupakan varian kedua terendah yang hadir dengan tetapan enam tempat duduk, di mana baris kedua hadir dengan kerusi kapten tanpa kehadiran konsol tengah. 
 

 

Ini bermakna, penumpang boleh memasuki ruang di baris ketiga dengan lebih mudah tanpa perlu mengalihkan kerusi di baris kedua, dibantu dengan bukaan pintu belakang yang luas mampu mencapai sudut 80 darjah. 

Menurut Mazda, ruang pada baris ketiga adalah direka supaya mampu memuatkan orang dewasa yang memiliki ketinggian sehingga 170 cm. 

Secara ringkasnya, tidak banyak perbezaan ketara yang dibawakan pada Mazda CX-8 berbanding SUV CX-5, selain penambahan tempat duduk baris ketiga. 

Reka letak papan pemuka juga hampir serupa, melainkan penggunaan kluster meter yang sedikit lama rekaannya jika dibandingkan dengan Mazda CX-5 yang kami pandu ke Utara tempoh hari. 
 


Sebelum penulis menukar posisi gear kepada D, sempat juga penulis duduk buat seketika di tempat pemandu bagi merasai perasaan duduk di atas tempat duduk balutan fabrik ini. 

Benar, untuk varian CX-5 2.5L 2WD Mid Plus ini, kesemua tiga baris tempat duduk didatangkan dengan upholsteri balutan fabrik yang ternyata selesa juga sebagai alternatif kepada balutan kulit pada dua varian tertinggi. 

Di atas jalan raya, kuasa yang ditawarkan oleh enjin Skyactiv-G 2.5 liter nirturbo ini amat memadai untuk pemanduan seharian, ditambah dengan kecekapan transmisi automatik enam kelajuan yang didatangkan. 

Menurut Mazda, nisbah gear telah diubah sedikit bagi disesuaikan dengan gaya pemanduan SUV tiga baris tempat duduk ini, namun berdasarkan pemanduan tempoh singkat, hampir tiada perbezaan yang dirasakan melihatkan kepada cekapnya kotak gear Skyactiv-Drive Mazda. 
 


SUV ini masih lincah di atas jalan raya, serta pemanduan yang meyakinkan tidak kira apa jua keadaan jalan yang diberikan dalam perjalanan kami. 

Boleh kata, tiada komen untuk kami berikan dengan lebih lanjut pada pemanduan Mazda CX-8 ini. 

 

Pengalaman sebagai penumpang


Berhenti rehat seketika, penulis menyerahkan tugas pemandu kepada rakan media Amirul (Motoqar) dan duduk di baris kedua. 

Saat punggung dilabuhkan, penulis langsung terlupa bagaimana selesanya duduk di dalam SUV turbo yang kami lenjan di PLUS tempoh hari, oleh kerana selesanya kerusi yang ditawarkan oleh Mazda CX-8 ini. 

Selain daripada kusyen yang empuk, ia tidak pula kekurangan dimensi kerana masih lagi mampu menyokong penuh kaki penulis sehingga ke bahagian belakang lutut. 

Pendek kata, ini adalah kerusi yang sempurna untuk sebuah Mazda CX-8!
 


Ruang kosong yang ditinggalkan pada bahagian tengah baris kedua ini sebenarnya lebih memudahkan untuk udara sejuk dari corong tengah untuk sampai ke baris ketiga. 

Penulis sempat juga mencuba duduk sendiri untuk baris ketiga dan tidak mengejutkan apabila ruang yang ditawarkan sebenarnya memang untuk penumpang-penumpang dewasa bersaiz kecil dan juga kanak-kanak. 

Namun, bagi mereka yang tinggi lampai, duduk sahaja di kerusi baris kedua kerana kedudukan lantai yang agak tinggi di baris ketiga menjadikan posisi kaki terangkat sepanjang perjalanan. 

Namun, kekurangan ruang di bahagian ketiga diimbangkan kembali dengan kehadiran ruang kepala yang memadai dan bukaan tingkap yang sederhana luas, tidak menjadikan ruang belakang terlalu sempit. 

 


Ciri keselamatan juga tidak kurang hebat!

Sebagai sebuah SUV yang disasarkan kepada keluarga, Mazda CX-8 cukup lengkap dengan kehadiran enam buah beg udara, ABS, EBD, Bantuan Brek, Kawalan Kestabilan Dinamik, Kawalan Cengkaman, Bantuan Mula Mendaki, serta cagak ISOFIX untuk kerusi kanak-kanak. 

Sistem keselamatan i-ActiveSense Mazda juga boleh didapati bermula daripada varian Mid Plus ini, namun hanya dua ciri yang didatangkan seperti Sistem Pemantauan Titik Buta dan Amaran Lintasan Trafik Belakang. 

Ciri seperti Sistem Amaran Keluar Laluan, Bantuan Kekal Laluan, Amaran Tumpuan Pemandu dan Sokongan Brek Bandar Pintar (SCBS) hanya boleh didapati pada dua varian tertinggi sahaja. 

Harga jualan?

 


Buat masa ini, Mazda Malaysia masih belum menetapkan harga jualan rasmi bagi model SUV tiga baris tempat duduk CX-8 ini, namun memberikan gambaran bahawa ia akan dijual 15% - 20% lebih mahal berbanding Mazda CX-5 CKD.

Sebagai panduan, harga jualan bagi Mazda C-5 bermula dari RM167,770.40 untuk varian Skyactiv-G 2.5 liter, manakala varian CX-5 Skyactiv-D 2.2 liter pula bermula dari RM172,532.80. 

 

 

 

Berita Berkenaan

Berita Global
Model yang dijual di pasaran Jepun, China, Oceania dan Asia Tenggara itu dijangka akan digantikan…
Berita Global
Namun, syarikat penala Jepun Auto Exe mempunyai idea yang mampu membuatkan CX-8 ini jauh lebih…
Berita Domestik
  Dalam kejadian kira-kira pukul 5 petang itu menyebabkan Perodua Myvi terbalik dan insiden…